Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan seramai 22 ahli Umno yang bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum yang lalu, secara automatik dipecat seumur hidup.
Menurutnya, pemecatan itu dibuat mengikut Fasal 20 (10) perlembagaan Umno yang menyatakan ahli yang bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihanraya, akan dipecat dan tidak boleh diterima balik selama-lamanya.
Tanpa menamakan mereka yang terbabit, Tengku Rithauddeen berkata, kes 22 orang itu tidak perlu disiasat dan dibicarakan kerana terdapat bukti sahih mereka bertanding sebagai calon bebas menentang calon BN. Apakah Lembaga Disiplin Umno ini telah membuat penyiasatan sewajarnya?
Dengan suasana pilihanraya yang lepas, maka sudah pasti kumpulan penentang BN seperti bekas ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang bertanding Parlimen Pasir Mas ; bekas timbalan ketua penerangan Umno Sabah, Datuk John Ghani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu ; dan bekas ketua Umno Cawangan Pinggiran Zoo, Ahmad Rahamat di di DUN Hulu Klang akan menerima hukuman dari Lembaga Disiplin UMNO.
Satu kes yang menarik ialah tindakan Datuk Ghani bertanding dan menang (majority 2,018) sebagai calon bebas di DUN Kuala Penyu. Kes-kes yang lain menunjukkan salahlaku yang jelas terhadap parti. Tetapi sebagai rakyat yang mengundi di DUN Kuala Penyu, saya melihat hukuman pemecatan ini sama seperti menghukum rakyat di kawasan ini
Kami sebagai rakyat di Kuala Penyu yang selama ini menyokong Barisan Nasional (BN), tidak menyalahkan Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin bertindak memecat Datuk Ghani. Tetapi apa yang kami cetuskan ialah suara kami sebelum ini yang tidak didengari kepimpinan BN Sabah.
Kami sudah memaklumkan bahawa wakil rakyat sebelum ini Datuk Wences Anggang yang menjadi Adun di Kuala Penyu selama 18 tahun, gagal membawa pembangunan kepada rakyat. Kami sudah mual dengan janji-janji kosong yang diberikan sepanjang tempoh itu.
Kami mahu perubahan wakil rakyat. Siapapun dia, yang penting bukan Datuk Wences Anggang. Mengapa keputusan yang begitu mudah pun tidak dapat diputuskan oleh pucuk pimpinan negeri Sabah?
Masanya sudah sampai. Ini bukan lagi politik belas ehsan dan simpati untuk kedudukan wakil rakyat sebelum ini untuk menjaga hati dan perasaan mereka. Tetapi ini soal kebajikan rakyat dan pilihan majoriti rakyat.
Kita kata negara demokrasi. Tetapi kita tidak puas hati dengan pilihan majoriti rakyat. Rakyat sudah menentukan pilihan di DUN Kuala Penyu. Kami sudah sebulat suara untuk menyokong BN. Menghukum Datuk John bermakna menghukum rakyat Kuala Penyu seolah-olah membuat pilihan yang salah.
Adakah Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin faham dengan masalah kami? Mengapa tiada yang turun padang menjenguk masalah sebenar kami, dengar dan buat kajian di kawasan ini? Ini bukan masalah yang sama dengan Datuk Ibrahim Ali atau Ahmad Rahamat. Kami tahu membezakan antara pemimpin yang buat kerja dan tidak.
Kami mahu semua pembaca membayangkan situasi ini. Selama 18 tahun kami menjadi ahli Umno dan penyokong kerajaan. Menjadi penentu kemenangan bagi calon, sama ada Islam atau bukan Islam.
Di DUN Kuala Penyu dalam pilihanraya 1999 di Sabah, pengundi utama di kawasan Datuk Wences Anggang pun tidak mengundi beliau. Hanya kami pengundi yang faham aspirasi kerajaan membawa kemenangan dalam pilihanraya tersebut. Tetapi kami rakyat di Kuala Penyu tidak mendapat manfaat pembangunan selama beliau menjadi wakil rakyat.
Sokongan kami diuji berkali-kali sehinggalah pilihanraya 2004 ini yang menyebabkan hati kami menjadi tawar. Hanya cara seumpama ini yang mampu menolak Datuk Wences Anggang. Apa yang berlaku di Kuala Penyu ialah sesuatu keputusan 'mudah menjadi sukar' kerana kepentingan politik peribadi.
Bukankah pucuk pimpinan negeri boleh membuat laporan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai apa yang sebenarnya berlaku? Tapi pimpinan di negeri Sabah mahu rakyat membuat keputusan. Keputusan yang paling sukar - dilema antara kerajaan, nasib rakyat dan kepentingan wakil rakyat.
Kami memang mahukan pemimpin seperti Datuk Ghani tetapi kalau boleh, kami mahu lebih baik dari itu. Kami mahu melahirkan pemimpin berwibawa tetapi bukan seperti Wences Anggang.
Apa yang kami pelajari ialah rakyat boleh membuat keputusan jika pucuk pimpinan negeri tidak boleh. Umno dan BN sudah mendapat keselesaan di Sabah. Tetapi jangan lupa keselesaan ini akan menjadikan pemimpin lupa dengan tanggungjawab sebenar sepertimana yang berlaku di DUN Kuala Penyu.
Berpuas hatilah Majlis Tertinggi, Lembaga Disiplin atau mana-mana pemimpin Umno yang berjaya menjatuhkan hukuman kepada mana-mana individu mengikut perkiraan yang tepat untuk mereka.
Namun lihatlah sesuatu yang lebih baik dari itu kebaikan individu atau lebih ramai lagi iaitu rakyat. Semoga perdana menteri mendengar keluhan kami ini.
