Perlantikan Yang Dipertua Negeri (TYT) Melaka sedang menjadi topik perbincangan yang hangat di kalangan rakyat Melaka semenjak kebelakangan ini. Tempoh perkhidmatan TYT Melaka sekarang akan tamat tidak lama lagi.
Persoalannya: Adakah TYT baru akan dicalonkan dari kalangan anak watan Melaka sendiri ataupun 'orang luar'?
Semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan sehingga kini, negeri Melaka tidak pernah mempunyai TYT dari kalangan anak jati Melaka.
Bermula dari Tun Leong Yew Koh (19571959) dari Perak, Tun Haji Abd Malek (1959 1971) dari Negeri Sembilan, Tun Haji Abd Aziz Abd Majid (19711975) dari Selangor, Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan (1975 1984) dari Perak sehinggalah kepada Tun Syed Ahmad Alhaj bin Syed Mahmud Shahabudin (1984 2004) dari Kedah, tidak seorangpun TYT berasal dari Melaka.
Kini terdengar pula desas-desus bahawa 'orang luar' lagi mungkin dilantik menjadi TYT baru Melaka. Persoalannya ialah: Apakah kurangnya kehebatan anak watan Melaka?
Rata-rata rakyat negeri Melaka musykil tentang isu mengapakah orang luar masih lagi dicalonkan sebagai TYT Melaka sedangkan di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, anak watan sendiri dilantik sebagai TYT.
Yang lebih menyedihkan ialah mengapakah ketua menteri Melaka sendiri tidak pernah secara terbuka meminta pucuk pimpinan negara supaya melantik TYT dari kalangan anak watan Melaka yang tidak kurang ramai bilangannya yang layak.
Adakah ketua menteri Melaka mempunyai agenda dan kepentingan yang tersendiri sehingga tidak mahukan anak watan Melaka dilantik sebagai TYT Melaka yang baru?
Kami rakyat Melaka menyeru kepada pucuk pimpinan negara supaya membuat keputusan dengan mengambil kira sentiment, perasaan dan kehendak rakyat Melaka sendiri.
