Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun.

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun. Di kesempatan ini, walaupun sedikit terlewat, patik ingin mengambil kesempatan menyampaikan salam tahniah atas sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada tanggal 5 Jun 2004 baru baru ini.

Patik begitu tertarik dengan titah Tuanku yang menyeru supaya usaha pembanterasan rasuah perlu dilakukan dengan telus dan tegas tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Berkebetulan pula, titah Tuanku ini disampaikan tiga hari selepas Tuanku menyampaikan watikah perlantikan Yang Dipertua Negeri Melaka yang keenam (pada 2 Jun 2004) kepada Datuk Seri Utama Tan Sri Khalil Yaakob, dan sehari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan tersebut di Dewan Seri Negeri.

Datuk Seri Utama Tan Sri Khalil Yaakob, sebelum dinamakan sebagai calon Yang Dipertua Negeri Melaka, pernah menjawat jawatan Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1999, negeri di mana patik bermastautin sekarang.

Selepas tempoh perkhidmatannya (beliau diangkat menjadi menteri persekutuan), Datuk Fauzi Abd Rahman, bekas timbalan menteri, yang juga bekas ahli parlimen Kuantan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah, telah membuat laporan polis bersabit dengan dakwaan salahguna kuasa Datuk Seri Utama Tan Sri Khalil sewaktu masih bergelar Menteri Besar Pahang, iaitu telah mengagihkan kawasan balak tanpa mengikut kuota yang ditetapkan oleh Dasar Perhutanan Negara.

Mengikut laporan Datuk Fauzi, tindakan ini telah menjejaskan sumber kewangan dan aliran tunai kerajaan Negeri Pahang sekarang kerana kawasan pembalakan yang boleh menjana hasil di sekitar RM300 juta hingga RM900 juta setahun, telah dibuka lebih awal.

Kawasan yang didakwa disalahagih ini mencakup kuota untuk lima tahun iaitu untuk tahun 2000 hingga 2004, yang bernilai secara keseluruhannya di sekitar RM1.5 bilion hingga RM4.5 bilion.

Patik faham, jika dikatakan seseorang tidak boleh dikatakan salah jika belum dibuktikan bersalah, itu amalan dalam sistem perundangan. Tetapi macam mana boleh dibuktikan bersalah jika laporan yang dibuat tidak disiasat.

Sehingga hari ini patik belum mendengar sebarang kenyataan sama ada dari pihak polis atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) ataupun Pejabat Peguam Negara, mengenai perkembangan siasatan terhadap laporan ini.

Dua laporan polis susulan juga telah dibuat oleh beberapa orang pacal rakyat, satu laporan di Pahang dan satu laporan lagi di Melaka, memohon supaya laporan Datuk Fauzi itu disiasat segera.

Sepemerhatian patik, amatlah tidak molek untuk Tuanku memperkenankan perlantikan seseorang ke jawatan seperti Yang Dipertua Negeri Melaka itu, apabila latarbelakangnya diragui. Dengan rasa sedih dan berat hati, patik merafakkan sembah rasa tidak bersetujunya patik dengan perlantikan tersebut.

Untuk kemuliaan dan kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh institusi beraja di negara, patik memohon supaya Tuanku menarik balik perkenan dan perlantikan Datuk Seri Utama Tan Sri Khalil Yaakob sebagai Yang DiPertua Negeri Melaka yang keenam.

Salam sembah ta'zim dari patik pacal yang hina.

Penulis adalah Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS