Saya mengucapkan terima kasih atas reaksi yang diberikan oleh beberapa pembaca malaysiakini atas saranan supaya PAS memisahkan diri sejauh-jauhnya dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Terus terang, saya menerima beberapa saranan positif yang dikemukakan khususnya oleh Abrokov H yang mencetuskan idea penting kepada PAS. Saya maksudkan betapa pentingnya PAS mengekalkan keadaan sedia ada dan membiarkan penyokong bukan Islam, terus berada dalam parti-parti seperti PRM dan Keadilan.
Kenyataan ini sekaligus menunjukkan provokasi dan perdebatan sihat amat penting dijadikan budaya dalam mana-mana pakatan, terutamanya pakatan politik yang berasaskan ideologi berbeza.
Saya juga mengakui bahawa berlaku perubahan emosi sewaktu menulis surat terdahulu kerana serangan yang dilakukan oleh editorial dan kolumnis Suara PRM terlalu keras dan sangat sukar diterima ahli biasa seperti saya.
Kenyataan ini bolehlah dianggap usaha kami, anggota muda PAS, berdamai dengan PRM tetapi saya amat berharap yang dahulu tidak diulangi lagi. Walaupun begitu, saya tetap dengan pendirian asal bahawa PAS tetap akan menjadi sebuah parti PAS sepertimana zaman emas 1999. PAS jangan diubah terlalu banyak.
PAS tidak perlu berubah dari segi keahlian. Tidak perlulah ahli bukan Islam didaftarkan sebagai ahli PAS kerana banyak implikasi negatif berbanding positifnya. Beberapa contoh implikasi negatif misalnya, belum pasti keahlian baru bukan Islam PAS itu adalah daripada MCA (atau MIC), sebaliknya ahli sedia ada di dalam PRM dan Keadilan. Ini akan membawa kerugian.
Hasrat sedemikian juga akan menyebabkan berlaku perpecahan di kalangan ahli PAS sedia ada yang menentang idea itu. Ini akan mengurangkan keahlian Islam dalam PAS. Saya khuatir yang terjadi nanti menepati perumpamaan 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.
Sebenarnya, dalam keadaan sekarang PAS hanya perlukan sedikit usaha sahaja lagi. Jangan usik keahlian bukan Islam, sebaliknya PAS perlu berusaha keras menarik keahlian kumpulan atas pagar pengundi Melayu, dengan menggunakan isu-isu agama.
Masih banyak isu agama yang PAS tidak eksploit sepenuhnya. Berdasarkan pengamatan saya, kefahaman agama orang atas pagar, malah orang Umno sendiri sekalipun lebih cenderung berasaskan fahaman Islam PAS, berbanding fahaman Islam Umno.
Mereka tidak sanggup menerima fahaman agama sesetengah ulama Umno dalam isu negara Islam, isu aurat dan sebagainya. Sebaliknya, ulama PAS mampu berperanan dalam hal ini. Fahaman kebanyakan ulama dan cerdik pandai Umno dan kerajaan dalam isu agama, jika diperhatikan, tidak berbeza dengan ulama PAS.
Berdasarkan premis 'fahaman agama yang serupa antara ulama PAS dan ulama Umno' maka PAS sebenarnya bukan sahaja mampu mempengaruhi ahli Umno, malahan mampu mempengaruhi beberapa institusi 'Umno' seperti Jakim, para mufti kebanyakan negeri dan beberapa institusi pemikir agama yang lain dalam kerajaan.
Seperti kita (ahli-ahli PAS), mereka (orang Umno) tidak menerima fahaman Islam moden, liberal ataupun Islam celup ala Amerika. Mereka (ulama Umno/kerajaan) sendiri menolak pandangan ulama 'mi segera' dan modernis Islam seperti Astora Jabat, Farish Noor atau Zainah Anwar.
Fahaman, pendekatan dan pemikiran ulama Umno dan mufti ini, dalam banyak isu agama, sangat dekat dengan pandangan ulama kita seperti Datuk Haron Din mahu pun Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat atau Tuan Guru Haji Hadi Awang.
Saya memberi contoh dalam isu sambutan Hari Valentine Februari lalu. Kenyataan ulama Umno yang juga mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, dengan tegas menyeru umat Islam menolak sambutan Hari Kekasih itu. Beliau menegaskan merayakan Hari Valentine bermakna meraikan paderi Kristian, St Valentine.
Inilah juga pendirian ulama-ulama PAS dan didokong oleh semua ahli-ahli PAS. Tetapi perayaan ini disambut dengan meriah oleh umat Islam tanpa sebarang halangan oleh kerajaan. Bukankah ini satu kelebihan kepada PAS berbanding Umno?
Oleh itu, sekali lagi saya menyeru kepada pemimpin PAS, khususnya di Wilayah Persekutuan, biarkan orang bukan Islam diurus oleh PRM dan Keadilan. Bukankah pilihanraya 1999 membuktikan PAS mengetuai kepimpinan pakatan dengan baik sekali? Semua pihak tidak mengusik isu-isu sensitif dalam pakatan dan menerima ideologi parti masing-masing.
Dalam pada itu, Akhbar Mahasiswa , sebuah akhbar nyamuk cuba menggugat kepimpinan PAS sekarang supaya ditukar dengan melantik Hassan Shukri dan Kamarudin Jaafar sebagai presiden dan timbalan presiden.
Siapa yang memberi hak kepada 'nyamuk' ini untuk memandai-mandai memberi idea haprak itu. Biarlah kepimpinan PAS dan ahli-ahlinya membuat keputusan menentukan kepimpinan dan hala tuju parti ini tanpa ditunjuk ajar sesiapa.
Setakat ini, gandingan dua tuan guru, Tuan Guru Abdul Hadi dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan gandingan terbaik yang pernah dilahirkan dan dimiliki PAS.
