Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya amat terkejut membaca beberapa surat sebagai reaksi kepada tulisan Dr G Walter yang mengatakan mereka memilih mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) atas dasar lesser of two evils atau memilih 'yang lebih baik daripada dua yang buruk'. Walter telah menyatakan pendiriannya terhadap dasar-dasar meritokrasi yang diperkenalkan sekarang.

Dan saya yakin ketidaksetujuan beliau dengan surat-surat yang kandungannya agak memalukan intelek pembacanya, serta 'saranan' beliau kepada LCH untuk berhijrah, bukan bermakna beliau terus menyokong kebejatan sistem yang diamalkan.

Ia juga bukan bermaksud sebagai 'saranan' supaya berhijrah ke luar negara, tetapi sebaliknya boleh dianggap sebagai satu sindiran. Tulisan Walter, yang saya kira agak sama dengan pandangan saya, menjelaskan kami sudah mual dengan surat berbentuk bumiputera bashing , seolah-olah Malaysia ini merupakan 'neraka' kepada bukan bumiputera.

Atas dasar itulah, kami berasa hairan, sekiranya ia merupakan isu yang begitu penting, mengapa tidak diterjemahkan sewaktu pilihanraya umum dahulu. Ya, Suqui pernah cuba mengenengahkan isu-isu untuk perhatian pihak berkuasa. Masa atau timing isu-isu yang dibawa Suqui juga menjadi tandatanya.

Saya tidak nampak usaha tersebut merupakan usaha berterusan pihak bukan bumiputera untuk menuntut hak mereka, tetapi hanya merupakan usaha pada satu ketika tertentu, untuk sesuatu kumpulan etnik.

Bahkan tidak keterlaluan untuk berpendapat, bahawa bukan bumiputera telah mengambil kesempatan dari isu Anwar Ibrahim yang mengurangkan sokongan Melayu kepada BN sebagai kad untuk mendapatkan 'hak' mereka seperti Universiti Tunku Abdul Rahman, perlaksanaan meritokrasi (walaupun ala-BN) dan sebagainya.

Mungkin ini maksud lesser of two evils yang dimaksudkan oleh seorang orang penulis . Dengan menyokong status quo pada pilihanraya umum 1997, maka boleh dibuat kesimpulan bahawa pengundi bukan bumiputera lebih bersikap materialistik dari sikap mempertahankan prinsip yang mana benar dan yang mana salah.

Tidak dinafikan bahawa ramai juga bukan bumiputera yang percaya kepada prinsip kebenaran dan keadilan, telah memberikan undi mereka kepada pihak pembangkang, tetapi ia tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk kemenangan.

Perkara ini boleh dilihat pada statistik bagi kawasan majoriti bukan bumiputera. Tidak perlu pula diulas mengenai pilihanraya terbaru yang terlalu banyak penipuan sepertimana yang kita ketahui.

Saya ingin bertanya kepada para penulis yang berpandangan bahawa status-quo adalah lesser of two evils , di manakah baiknya pemerintahan yang terus mengekalkan undang-undang yang melanggar hak asasi manusia seperti ISA dan menutup kebebasan bersuara?

Bandingkan dengan manifesto Barisan Alternatif (BA) yang ingin menghapuskan undang-undang zalim, memperkenalkan kerajaan yang lebih telus dan bebas rasuah. Sekiranya inginkan model pemerintahan BA yang dianggotai parti-parti yang bukan bersifat rasisme, boleh sahaja merujuk kepada pemerintahan PAS di Kelantan yang lebih telus serta bebas dari penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Sementara tidak ingin memanjangkan perdebatan mengenai tuduhan akan berlaku diskriminasi agama jika BA berkuasa, saya ingin menjelaskan, sebagai penganut Islam yang percaya kepada ajarannya, di dalam pemerintahan Islam, rakyat penganut agama lain yang taat pada negaranya, wajib dilayan seadil-adilnya.

Pemerintahan Islam juga menjamin nyawa, harta dan maruah setiap rakyatnya. Dalam hal ini, pihak yang memperjuangkan pembentukan negara Islam, telah cuba sedaya upaya untuk berkompromi. Ini dapat dilihat daripada usul mereka untuk memperkenalkan undang-undang Islam di negeri-negeri majoriti Melayu sahaja dahulu, sekiranya menang dalam pilihanraya.

Pembentukan masyarakat Malaysia yang bebas dari diskriminasi berdasarkan ras, bermula dari individu. Individu dahulu perlu bebas dari fahaman rasisme. Selain itu, bukan sahaja kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, juga perlu menreformasikan paradigma masing-masing.

Lebih banyak pertubuhan yang berlatarbelakangkan semua masyarakat di Malaysia, perlu diwujudkan untuk menuntut keadilan dan hak dari kerajaan dan swasta, bukan seperti Suqui yang lebih berpaksikan ras dan bersifat strategi pilihanraya.

Perlu disedari juga, masih banyak amalan diskriminasi berbentuk rasisme yang diamalkan di pihak swasta yang sudah tentu majoriti pemiliknya bukan Bumiputera terhadap perkerja kaum bumiputera, dan juga pekerja asing kelas rendah.

Mari bertanya kepada diri kita, sementara menentang dasar-dasar berbentuk diskriminasi mengikut kaum, seperti amalan meritokrasi sekarang, adakah kita merupakan anti-rasisme atau anti-diskriminasi tulen?

Mungkin untuk menghapuskan sifat rasisme sepenuhnya dari diri sendiri adalah suatu yang tidak mungkin, tetapi dengan memberikan alasan bahawa mengundi status quo adalah kerana memilih lesser of two evils , secara tidak langsung, telah menyatakan warna diri kita yang sebenar.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS