Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya amat tertarik dengan tulisan Melayu Baru mengenai perkara di atas. Saya berasa bangga kerana ada seorang Melayu yang berfikiran terbuka dan bersifat adil seperti Melayu Baru. Bagaimanapun saya ingin mengutarakan pendapat yang tidak selari dengan pandangan beliau.

Ia adalah mengenai perkara yang disentuh Melayu Baru mengenai pendidikan yang dikatakan telah menyebabkan polarisasi kaum di negara ini. Saya berpendapat faktor utama yang menyebabkan lebih 90 peratus pelajar keturunan Cina bersekolah Cina berpunca dari dasar kerajaan itu sendiri.

Apabila seorang itu dipinggirkan berterusan kerana keturunan dan agama, mereka pasti mencari perlindungan di kalangan kumpulan yang sedia menerima mereka. Dengan sebab inilah, maka keturunan Baba dan juga keturunan peranakan Cina Kelantan, mencari identiti dan cuba menyesuaikan diri dengan masyarakat Cina arus perdana.

Gejala ini timbul walaupun mereka lebih selesa berdondang sayang atau berdikir barat, daripada berkecimpung dengan budaya Tionghua. Dasar ekonomi baru memangnya bertujuan murni untuk memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik untuk menikmati kekayaan negara.

Kejayaan Melayu Baru dan Dr Walter Rogers patut dihayati semua warga Malaysia. Saya pasti ramai lagi yang berjaya dengan kemudahan yang disediakan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apa yang perlu di sebut di sini juga, terdapat ramai rakyat bukan bumiputera yang tercicir dan terpinggir kerana keturunan dan agama yang tidak termasuk dalam golongan yang ditimang ...

Ini di akui MelayuBaru sendiri. Cuba bayangkan perasaan dan kekecewaan kami dari golongan ini. Saya ingin juga menyentuh sedikit penyelewengan yang amat ketara dalam perlaksanaan dasar DEB.

Sebagaimana yang disebut Melayu Baru, ramai mereka yang dihantar ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran tidak sepatutnya diberi bantuan kerana mereka dari keluarga yang amat berada. Ramai pemegang biasiswa di luar negeri mampu membeli kereta mewah dan tidak kurang juga yang mampu membeli pangsapuri.

Ada juga yang bukan bumiputera tetapi menikmati kemudahan yang kononnya dikhaskan untuk orang Melayu. Berapa ramaikah keturunan India yang hanya baru menetap di sini, menukar nama dari anak lelaki atau anak perempuan kepada bin dan binti untuk me-Melayu-kan diri mereka dan seterusnya mandapat segala keistimewaan yang tersedia?

Dasar yang memberi keistimewaan mengikut keturunan ini juga menjadi perisai kepada segala penyelewengan dan rasuah. Kepada mereka yang tidak mengetahuinya, saya ingin ceritakan di sini apa yang akan berlaku di sebuah bank yang akan mengeluarkan 288 juta saham baru khas untuk bumiputera.

Salah seorang pengarah bank berkenaan akan menerima 68 juta saham dengan harga RM1.70 sesaham. Harga saham ini sekarang lebih kurang RM2.70. Ini bermakna individu ini mendapat untung lebih RM50 juta ringgit begitu senang.

Saya rasa dasar yang memberi begitu banyak manafaat kepada seorang individu, tidak patut diteruskan. Banyak lagi sekiranya apa yang terjadi di sebalik lindungan dasar yang tidak adil ini dapat dibongkar. Selagi dasar ini dikekalkan, sehingga itulah polarisasi kaum akan beterusan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS