Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya memandang senario politik pembangkang cukup memerlukan seorang tokoh yang bukan sahaja berani tetapi paling berani bagi melawan segala kerosakan amalan demokrasi di Malaysia.

Yang jelas dilihat, kita mempunyai beberapa mutiara pembangkang yang sekiranya digilap, pasti akan menjadi aset berharga untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Antara tokoh terbaik pemimpin muda pembangkang yang saya cukup yakin boleh memimpin negara pada satu masa nanti ialah Ezam Mohd Nor, Teng Chang Kim, Lim Guan Eng dan Husam Musa.

Kekalahan parti Keadilan dalam pilihanraya lalu, menunjukkan parti ini memerlukan post mortem dalam segala aspek perancangan, dan yang lebih penting ialah dasar halatuju parti. Kelemahan dalam menjaga falsafah perjuangan parti yang menjadi sebab kelahiran Keadilan.

Umum mengetahui bahawa lonjakan sokongan rakyat pada tahun 1998, sewaktu kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemenangan mendadak parti pembangkang, adalah kerana 'mesej' yang disampaikan oleh Barisan Alternatif (BA) ketika itu, adalah mengembalikan semula segala bentuk pemerintahan yang lebih adil dan saksama pada semua masyarakat.

Ini termasuk sistem kebajikan ekonomi di mana semua kaum mendapat hak yang sama rata dan tidak terdapat satu perbezaan kekayaan yang besar antara kaum. Malah BA, pada waktu sebenarnya, meneruskan perjuangan hak keadilan rakyat yang dibawa oleh Anwar.

Namun kebangkitan ini telah dimatikan secara total oleh parti PAS yang jelas menukar arah perjuangan dengan memperkenalkan idea negara Islam, yang akhirnya telah menjauhkan semua kaum daripada mendekati parti Keadilan.

Penahanan

10 pemimpin Keadilan di bawah ISA selama dua tahun pada 2001, telah memberi peluang kepada parti PAS untuk memonopoli segala halatuju BA. Mereka terus membelakangkan kesepakatan BA yang hampir menumbangkan BN di beberapa negeri pada pilihanraya umum 1999.

Pemergian Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor merupakan titik-tolak kejatuhan BA apabila diterajui oleh dua tokoh PAS - Nik Aziz Nik Mat dan Haji Abdul Hadi Awang. PAS tidak akan dapat memerintah Malaysia selagi pemimpin mereka tidak mampu menukar sikap.

Apabila dua tokoh ini mengambil alih parti PAS, perbezaannya adalah bagaikan langit dengan bumi, jika dibandingkan dengan ketokohan Fadzil Noor dalam mengepalai semua kaum menentang dasar pemerintahan BN.

Namun, peluang tetap ada untuk rakyat Malaysia. Ezam mampu membawa halatuju yang baru dalam sistem politik pemeritahan Malaysia. Perjuangan beliau yang melangkaui batas kaum dan agama, boleh dijadikan faktor penentu sistem politik pembangkang yang lebih kuat .

Mengapa saya katakan demikian? Sila ingat kembali kenyataan Haji Hadi selaku ketua pembangkang sebelum pilihanraya lalu berhubung kes kematian ibu perdana menteri dan kes mengelar pemimpin DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang, sebagai ubat lupus tarikh ?

Adakah setakat ini sahaja komen yang boleh dibuat oleh ketua pembangkang? Mana pergi soal-soal rasuah yang boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan?

Sila bandingkan kenyataan Ezam sebelum pilihanraya lalu di mana beliau telah meminta saudara Lim Guan Eng diberi pengampunan diraja untuk bertanding dalam pilihanraya!

Ezam saya lihat adalah nyawa Keadilan, parti yang memperjuangkan hak semua kaum. Pengorbanan beliau sudah dibuktikan dengan memdedahkan kes rasuah yang didakwa membabitkan Rafidah Aziz dan Abdul Rahim Thamby Chik.

Mengapa beliau mendedahkan isu rasuah? Kerana pemimpin yang rasuah boleh merosakkan, malah menghancurkan negara. Semua kerajaan yang rasuah di Indonesia, Korea, Jepun dan Filipina jatuh kerana rasuah. Adakah kerajaan tadi jatuh kerana isu negara Islam? Tidak sama sekali.

Politik Malaysia memerlukan kebijaksanaan dan bukan sikap fanatik sempit yang dibawa Umno, MCA, MIC dan PAS. Malaysia memerlukan tokoh politik yang berjuang atas landasan parti berbilang kaum.

Presiden Keadilan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sudah melakukan semaksimum yang boleh. Namun saya percaya, beliau mempunyai batasannya sendiri.

Keadilan, malah negara Malaysia memerlukan pemimpin muda yang tegas dan berani. Ezam, Tian Chua, Husam Musa, Teng Chang Kim, Lim Guan Eng dan N Gobalankrishnan merupakan pelapis ... tetapi sampai bila?

Ezam perlu mengepalai secepat mungkin demi menyelamatkan Keadilan, negara Malaysia dan semua rakyat.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS