Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya merujuk kepada surat Izahar bertajuk Biar Ezam terajui Keadilan yang tersiar dalam malaysiakini.com beberapa hari yang lalu. Sekali baca, surat itu kelihatan mengangkat isu serius dan mampu memecahbelahkan parti Keadilan. Tetapi setelah diperhatikan lebih mendalam, ianya menjadi tidak lebih sekadar pernyataan-pernyataan lucu.

Keseluruhan isi surat itu menunjukkan Izahar baru belajar politik setahun jagung dan menganggap segala sepak terajang politik adalah 'cabaran', sedangkan dalam politik sebenar ianya sebahagian politiking yang dirancang.

Ini termasuklah perancangan dari dalam parti Keadilan sendiri yang menyebabkan Keadilan berada seperti hari ini. Untuk menganggap surat Izahar itu tidak lungu hanyalah apabila ianya ditulis oleh Ezam mahupun proksi beliau sendiri.

Sebagai kumpulan pengamat politik saya beranggapan bahawa era Ezam sebagai penggerak Keadilan sudah tamat, khususnya beberapa ketika sebelum berlakunya pilihanraya umum kesebelas yang baru lalu.

Sungguh menghairankan sekiranya Izahar, sebagai seorang peminat Ezam, tidak tahu mengenai pertemuan yang berlangsung di antara Ezam dengan ejen-ejen Umno. Masakan bukti yang terang sejelas gunung Atlas (meminjam istilah Syed Hussein al-Attas) itu tidak dapat disaksikan oleh Izahar, melainkan Izahar sendiri telah membutakan matanya terhadap kenyataan yang berlaku.

Bahawa pertemuan dan perundingan yang berlaku dengan diketuai oleh Ezam sendiri, dengan satu tujuan untuk kembali semula kepada Umno itu sungguh jelas dan tidak ternafi lagi. Bahawa gambar Ezam di sebelah Datuk Aziz Shamsudin itu sepatutnya sudah cukup untuk menggambarkan betapa dalamnya hasrat Ezam untuk kembali semula kepada Umno.

Sebenarnya, surat lain dalam malaysiakini sepatutnya menjadi bahan bacaan Izahar, yang berbunyi 'Bagi orang Keadilan, dari Umno mereka datang dan kepada Umno mereka kembali'. Inilah realitinya.

Saya berpandangan, dalam keadaan sekarang bagi parti Keadilan, Datin Seri Wan Azizah Ismail masih mampu meneruskan perjuangan ini. Tetapi penggerak sebenar yang paling layak dan telah terbukti bekerja ialah Saudara Khalid Jaafar, iaitu ahli Majlis Tertinggi Kepimpinan Keadilan.

Setelah penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), saf kepimpinan PKR semakin bertambah besar. Pilihlah mana-mana dari kalangan mereka yang konsisten jujur dan komited, kecuali Ezam.

Dalam banyak-banyak isi surat Izahar, hanya sebaris yang saya bersetuju, bahawa tokoh-tokoh muda dan barisan pelapis barisan pembangkang sangat berpotensi untuk membawa politik baru. Nama-nama yang disebutkan memang tepat seperti Husam Musa, Takiyudin Hassan dan Lim Guan Eng.

Saya panjangkan senarai itu dengan Salahuddin Ayub, Khalid Jaafar, Hishamuddin Rais dan ramai lagi. Kebolehan mereka ini boleh menggantikan tokoh-tokoh usang dan tamat tempoh dalam PAS, khususnya presiden mereka, Haji Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS