Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Sukarnya parti alternatif Melayu untuk menang di luar bandar. Di Malaysia, Umno merupakan parti yang mewakili orang Melayu. Namun, selain Umno, ada beberapa parti lain, sekalipun tidak memasukkan nama Melayu, sebenarnya juga merupakan 'bayangan' kepada parti Melayu, berdasarkan kepada pengaruh dan sokongan daripada masyarakat Melayu.

Parti-parti utama seperti PAS, Parti Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (kini bergabung) adalah gambaran manifestasi parti Melayu. Ada juga parti lain seperti Semangat 46 yang telah dimakamkan kerana kegagalan mendapat sokongan dari di kalangan orang Melayu.

Kerana terasnya sebagai parti Melayu, maka parti-parti ini selalunya cuba untuk mendapatkan sokongan orang Melayu di luar bandar dan desa-desa. Namun, sejak pilihanraya pertama diadakan di Tanah Melayu pada sekitar tahun '50an, sampai sekarang parti-parti teras Melayu selain Umno, tidak pernah menang.

Apakah Umno terlalu kebal, atau parti-parti lainnya sememangnya telah terkena sumpahan yang tidak memungkinkan untuk mereka menang. Kegagalan PAS dan Keadilan di kawasan desa yang majoritinya orang Melayu, merupakan sesuatu yang wajar dipersoalkan.

Tidakkah majoriti masyarakat Melayu luar bandar ini, sama ada petani, peneroka, nelayan, peniaga kecil dan sebahagian kecil kakitangan kerajaan, tidak terpengaruh dengan manifesto yang disampaikan oleh wakil parti bukan Umno setiap kali berceramah atau melalui medium yang lain?

Tidakkah juga orang Melayu sedar akan kepincangan yang berlaku dalam Umno, seperti politik wang, perebutan jawatan, krisis kepemimpinan dan sebagainya? Bahkan, dalam tragedi besar yang berlaku dalam Umno pada tahun 1988 dan 1999 pun, parti itu nampaknya tidak mengalami kekalahan. Bahkan, pengaruh mereka semakin besar.

Acapkali sudah parti alternatif Melayu bercakap soal demokrasi, keadilan sosial, hak asasi, kebebasan akhbar dan sebagainya. Tidakkah masyarakat Melayu sedar betapa kini mereka sedang dikongkong oleh media arus perdana sehinggakan hak mereka untuk bersuara sebenarnya sudah lama lenyap?

Kalau ya, mengapa Umno masih menjadi pilihan? Jika tidak, mengapa Umno begitu kukuh menjadi institusi penting orang Melayu?

Inilah antara pokok persoalan yang memerlukan jawapannya oleh setiap parti alternatif Melayu untuk menghadapi pilihanraya mendatang. Kalau kita bertanya masyarakat Melayu di desa, apakah keutamaan mereka tentu sahaja mereka akan menjawab 'subsidi pertanian, biasiswa pendidikan, jalan tar menggantikan jalan tanah merah, sokongan pemerintah yang menggalakkan ekonomi sara diri mereka dan sebagainya.

Atau, kalau dirujuk kepada tingkat hirarki Maslow, motivasi mereka sebenarnya masih kepada keperluan asas, dan bukannya kehendak yang lain. Jadi, usah bercakap soal korupsi, kronisme, hak asasi dan sebagainya.

Apakah maknanya kebebasan akhbar bagi orang Melayu desa, kalau dibandingkan keperluan memastikan dapur mereka terus berasap. Dan, Umno selama memerintah negara terus sahaja memberikan bantuan-bantuan ini.

Berbeza di Kelantan dan Terengganu, masyarakat Melayu di sana biasanya lebih berdikari sebagai peniaga kecil dibandingkan dengan masyarakat Melayu di tempat lain. Masyarakat di sini juga nampaknya lebih cenderung dengan tradisi 'pondok' dan 'Serambi Mekah', kerana di sinilah munculnya Tok Kenali, Syeikh Daud Fatani dan pelbagai ulamak silam terbilang.

Mereka ini mungkin mampu dikuasai parti alternatif gagasan Islam. Sungguhpun demikian ia bukan isyarat untuk parti PAS mudah memperolehi kemenangan mudah, melainkan perlu mengharapkan perpecahan di dalam Umno sendiri.

Lain halnya kalau diselidiki keperluan masyarakat Melayu bandar. Mereka ini telah menikmati kehidupan yang selesa. Berkereta besar, memiliki rumah baik dan sekurang-kurangnya mempunyai gaji tetap.

Mereka ini tidak memerlukan bantuan kerajaan, apatah mengharapkan pemberian 'beruk subsidi'. Golongan inilah yang sebenarnya sangat membantu parti alternatif Melayu.

Tidak ada gunanya seorang profesor hebat membentangkan Belanjawan Alternatif kepada masyarakat kampung. Bagi mereka, sama ada ekonomi turun atau naik, mereka tetap begitu. Sawah bendang perlu dihijaukan, pokok getah perlu ditoreh dan perlu mengharungi gelora di laut

untuk menangkap ikan.

Tidak ada gunanya pemimpin muda parti alternatif Melayu bercakap soal Utusan Melayu atau Berita Harian tidak memberikan liputan yang adil kerana bagi orang Melayu desa, yang paling utama bukanlah perkara itu. Tetapi bagaimana mereka bebas melakukan aktiviti harian tanpa diganggu.

Sekiranya parti alternatif seperti PAS mendakwa betapa dengan memilih mereka, masyarakat Islam akan lebih terbela di bawah hukum hakam syariat Islam, ia belum tentu akan menikam sukma masyarakat Melayu luar bandar. Selagi mana di kampung mereka mempunyai surau atau masjid, bebas bersembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya, ia sudah mencukupi.

Bagi mereka, itu sudah menandakan mereka orang Islam. Segelintir sahaja yang faham apa itu Islam yang sempurna, tetapi majoritinya tidaklah begitu. Walaupun pada tahun 1999, akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan, sokongan terhadap parti alternatif Melayu begitu mendadak, tetapi ia bersifat sementara sahaja.

Pola pengundian berubah kerana waktu itu orang begitu marahkan Dr Mahathir yang memecat Anwar dengan cara yang sangat berbeza daripada tradisi lazim orang Melayu.

Bahkan, Anwar dimalukan dengan cara yang sangat tragis. Tetapi, dalam tempoh lima tahun, keadaan itu sudah berubah. Perubahan pucuk pimpinan Umno menjadikan sokongan orang Melayu terhadap Umno kian meningkat, bahkan sangat luar biasa.

Jadi, melihat kepada senario ini, nampaknya dalam tempoh lima atau 10 tahun yang akan datang, parti alternatif Melayu mustahil mampu memecahkan tembok kebal minda Melayu. Bahkan, mungkin ada parti-parti tertentu yang akan menjadi seperti 'hidup segan, mati tak mahu', kalau tidak pun menerima nasib yang sama seperti Semangat 46.

Apatah lagi dalam suasana media massa yang tidak mendokong semangat demokrasi tulen dengan menjelaskan berita yang adil dan sama-rata, selagi itulah Umno akan terus dijulang sebagai parti pembela orang Melayu. Bagi memastikan perubahan minda orang Melayu ini, parti-parti alternatif ini perlu melebihkan soal-soal 'asas' dalam manifesto mereka.

Bercakaplah soal-soal yang mudah dan bukannya hal-hal yang kompleks. Program-program 'turun ke kampung' perlulah meniktikberatkan aspek mendekatkan diri dengan masyarakat, dan bukannya debat untuk membangkitkan kesedaran demokrasi.

Aktiviti seperti 'jamuan rakyat', 'majlis ramah mesra' dan sebagainya, mestilah diutamakan berbanding dengan menyuapkan masyarakat dengan ceramah dan pembongkaran 'rahsia besar' pemimpin Umno.

Dan hakikat untuk parti alternatif ini menang adalah terlalu sukar dalam tempoh sedekad yang mendatang perlu difahami oleh setiap pihak sebelum terjun ke dunia politik alternatif. Kerana itulah cabaran besar yang terpaksa dipilih dalam politik ala Malaysia.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS