Untuk kesekian kalinya, Khairy Jamaluddin, ahli baru Umno lulusan ekonomi dari Oxford dan secara kebetulan menantu Pak Lah menurut percaturan politik Pemuda Umno bakal diraikan sebagai naib ketua pergerakan itu tanpa bertanding.
Mengikut laporan beberapa akhbar utama, Khairy akan membuat pengumuman Sabtu ini di Rembau, di mana beliau menjadi ketua penaja Pemuda Umno bahagian, sama ada akan menyahut pencalonan bagi jawatan tersebut. Umno bahagian bersidang dari 8 hingga 22 Julai ini.
Hakikat bahawa pemuda Umno yang garang sebelum ini, tiba-tiba layu untuk masuk gelanggang pertandingan naib ketua pergerakan tersebut, sudah pastilah menimbulkan beberapa isu besar.
Tema kepada isu-isu ini ialah apakah Umno sudah menjadi sebuah parti kerdil dan mengalami inferiority complex, budaya feudal terus disuburkan serta kematian demokrasi dalam parti tersebut.
Mengenai isu kematian demokrasi tersebut, kita mungkin boleh menerima pandangan Majlis Tertinggi Umno bahawa dua jawatan tertinggi presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, tetapi sukar menerima bahawa jawatan-jawatan 'kecil' lain juga tidak dipertandingkan.
Dalam hal ini, sekalung pujian wajar diberikan kepada Puteri Umno yang membuka pertandingan seluas-luasnya pada tahap tertinggi. Dan sekalung takziah kepada Wanita dan Pemuda Umno yang menunjukkan kemunduran dalam demokrasi walau apa pun alasan yang diberikan.
Alasan yang paling shahdu pastilah 'tidak bertanding juga adalah demokrasi' ataupun alasan mengekalkan jawatan Ketua Pemuda satu penggal lagi adalah untuk melatih penggantinya. Siapakah pengganti yang ingin dilatih, seolah-olah kenyataan itu menunjukkan pengganti sudah sedia ditunjuk.
Untuk menghalalkan tidak adanya pertandingan di peringkat dua jawatan tertinggi pun disebabkan sejarah telah menunjukkan jalannya bahawa ada pihak yang kononnya menyanjung demokrasi tetapi tidak menerima keputusan apabila demokrasi dilaksanakan pada pertembungan bersejarah 1987.
Pada kali ini, orang yang sama pula sekali lagi cuba menunjukkan watak bahawa dia seorang yang sangat faham demokrasi dan menganjurkan pertandingan diadakan pada semua peringkat.
Mengenai isu penyuburan semula budaya feudal dalam Umno yang telah dilemahkan oleh kepimpinan Umno sebelum ini, kita berbalik kepada kisah pengganti naib ketua Pemuda Umno yang sedia ditunjuk.
Budaya feudal ini terus diperkuat oleh kumpulan yang selama ini memang menjunjung feudal dan menaiki tangga dalam parti dengan cara yang paling selamat. Menggunakan warisan keluarga, meminjam kata seorang penulis lain, seolah-olah Umno itu 'bapak dia yang punya'.
Lalu ada suara menjawab dengan cukup sinis, 'memang datuk dia yang punya' merujuk kepada Dato Sir Onn Jaafar iaitu pengasas Umno.
Apabila budaya feudal diperbandingkan dengan bakat seseorang, sepertimana yang banyak didebatkan sebelum ini, yang menang adalah gabungan kedua-duanya. Hakikat bahawa sekiranya seorang anak penoreh getah yang belajar di Oxford apabila dipertandingkan dengan seorang menantu perdana menteri yang belajar di Oxford, sudah pastilah menantu perdana menteri yang menang.
Hakikat ini telah ditunjukkan berkali-kali dalam sejarah, dengan alasan ianya tidak menjejaskan kepimpinan Melayu. Mereka memberikan contoh Datuk Seri Najib Razak, Datuk Hishamuddin Hussein dan sekarang ini Khairy Jamaluddin yang telah mendapat 'restu' Pak Lah.
Hakikat inilah juga yang sekarang ini menjinakkan 'kucing-kucing' dalam Pemuda Umno (perhatikan bahawa Pemuda Umno sudah lama kehilangan 'singa dan harimaunya' akibat berleluasanya kaedah naik melalui jalan paling selamat).
Mereka menaik dengan prasyarat-prasyarat yang langsung tidak demokratik jauh sekali menjadi suara akar umbi, sebaliknya suara peribadi mereka, ketua Pemuda bahagian atau negeri sahaja.
Tema terakhir, apakah kehilangan semua perkara di atas akan menyebabkan Umno bakal menjadi sebuah parti kerdil dan tidak tahan cabaran. Jawapannya 'ya', kerana melantik dan memilih pemimpin yang tidak teruji ke dalam hirarki parti adalah kesilapan terbesar kepada mana-mana organisasi.
Sehingga sekarang, saya masih pening-pening lalat memikirkan betapa Pemuda Umno bahagian/negeri yang merasa terlalu kerdil berhadapan dengan Khairy. Alasan mereka, bukanlah disebabkan Khairy menantu Pak Lah tetapi Khairy adalah pemimpin berbakat dan berkelulusan Oxford.
Mereka ini, sesuai dengan usia mudanya memang tidak berpandu sejarah, macam tidak tahu bahawa peneraju Umno sewaktu era kelam-kabut selepas ditinggalkan Datuk Onn ialah Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, seorang lulusan Cambridge.
Apa kurangnya pemikiran Cambridge, sewaktu orang Melayu belajar di universiti luar negara tak sampai sepuluh orang, berbanding dengan ramainya calon berbakat dalam dan luar negara pada hari ini.
Kepada Pemuda Umno, ingatlah bahawa Umno bukan parti kerdil, bukan parti inferior, tetapi Umno adalah parti yang diasaskan oleh manusia hebat. Oleh itu, kehebatannya perlu diteruskan.
Alasan seorang ketua Pemuda Negeri mengenai pencalonan Khairy pula langsung tidak boleh dipakai dan melukakan hati banyak orang Umno yang paling setia.
Alasan itu adalah bahawa Khairy telah memberikan sumbangan besar dalam pilihanraya umum kesebelas, seolah-olah menyingkirkan semua sumbangan ahli-ahli Umno yang lain. Khairy seorangkah yang bekerja? Bukankah di luar lingkungan 'elits' Pemuda terlalu ramai ahli-ahli Umno yang bekerja siang dan malam memenangkan Umno terang-terangan mahupun gelap?
Terlalu ramai wira-wira Umno yang 'tidak didendang' di luar sana. Jangan sesuka hati menuntut sumbangan dengan berselindung di sebalik politik bertujuan peribadi. Rosaklah Umno. Apakah tujuannya semua tulisan ini? Saya bukanlah proksi kepada mana-mana pihak dalam Umno, cuma ingin melihat Umno kembali ke landasan yang benar.
Ini bermakna, landasan yang ada pada hari ini, khususnya dalam Pemuda adalah terang-terangan salah dan melukakan tradisi Umno yang kita pikul dan junjung selama ini. Tradisi Umno meletakkan seorang yang benar-benar berkebolehan dan teruji dengan pengalaman ke dalam hirarki parti. Apakah yang mampu dipikul oleh seorang remaja berusia 28 tahun?
Kepada Khairy walaupun arus kelihatan menyokong beliau berhentilah sejenak. Biarlah batin beliau yang membuat keputusan. Apakah betul jalan yang bakal beliau lalui? Apakah elok beliau mengambil tindakan sebaliknya, dengan benar-benar melalui liku-liku pengalaman dalam parti, terjun ke bawah, melihat nasib orang Melayu yang masih serba-serbi kekurangan, maka barulah membuat keputusan.
Benarkah sokongan yang ada sekarang, ataukah sokongan ini akan menguntungkan Khairy secara peribadi tetapi membawa rebah kepada Umno? Renungkanlah.
Kepada Pemuda Umno pula, sekiranya Khairy tetap dengan keputusannya, sediakanlah lawan yang patut padan dengan Khairy. Jangan biarkan sejarah menyaksikan Pemuda terus kelepet dan takut-takut serta saling menjaga periuk nasi masing-masing.
Kalau saya menyebut nama, pastinya ada yang mengatakan saya berpihak, tetapi sangat banyak bakat-bakat yang ada dalam Pemuda yang boleh mereka calonkan untuk menyaingi Khairy. Cari dan calonkanlah!
