Pandangan Alias Mohd.Yusof tentang pemupukan perpaduan dari sekolah, memanglah perkara yang masuk akal. Tetapi, untuk sekolah memainkan peranan ini, maka perlu wujud budaya Malaysia yang tulen di kalangan pendidik dan pentadbir sistem pendidikan di negara ini.
Bukanlah rahsia bahawa sistem pendidikan kita banyak dipengaruhi oleh arus pemikiran politik dengan perhitungan-perhitungan jangka pendek yang mengutamakan keuntungan kepada pihak-pihak tertentu. Perpaduan cuma disebut sebagai 'istilah hiasan' - seperti yang dilambangkan oleh 'persada' yang kini diberikan kepada hal perpaduan dalam jemaah menteri negara.
Nampaknya istilah 'perpaduan' membawa makna yang berlainan kepada pelbagai pihak di dalam negara kita. Kepada ketua-ketua parti politik, perpaduan terhad kepada ahli-ahli partinya. Kumpulan ini sangat gembira jika 'yang lain' tidak bersatu padu.
Bahawa Barisan Nasional terdiri daripada parti-parti perkauman, maka setiap parti menginginkan perpaduan kaumnya sendiri agar akan mendapat keistimewaan dan kedudukan dalam kerajaan yang terbentuk jika menang dalam pilihanraya.
Jumlah undi yang dijana oleh parti berkenaan daripada pengundi kaum berkenaan, merupakan ukuran penting pula. 'Pecah dan perintah' kita mudah belajar daripada penjajah.
Kerana itu, mereka masing-masing mahukan simbol-simbol kemegahan untuk ditunjukkan kepada para pengikutnya, betapa gahnya kepimpinan parti kaum berkenaan.
Oleh kerana wujudnya tanggapan bahawa nasib masyarakat lain menjadi tanggungjawab pemimpin kaum masing-masing, maka MCA berusahalah untuk memastikan sekolah Cina, Kolej TAR, Utar dan memastikan pemilikan tapak sekolah dalam tangan masyarakat itu sendiri, kerana bimbang kemungkinan bahasa Mandarin terketepi oleh kerajaan.
Masyarakat Cina memang mampu, dan menggunakan kekuatan ekonominya untuk menjamin peluang pendidikan yang terbaik untuk kaumnya.
MIC pula terpaksa menadah tangan, kerana masyarakat India di negara ini rata-rata kurang berada, dan sehingga ini, kebanyakan sekolah Tamil belum mendapat kemudahan yang memuaskan. Kerajaan mempertahankan suatu dasar lapuk bahawa 'sekolah bantuan modal' perlu dibiayai komuniti itu sendiri, meskipun kaum berkenaan dalam keadaan daif dan memerlukan pembelaan.
Pemimpin MIC pula sibuk dengan pembinaan kolej dan universiti, supaya masyarakat India juga ada lambang-lambang kemegahan! Rupa dan kemudahan sekolah-sekolah Tamil terus ketinggalan jauh, jika dibandingkan dengan SJKC maupun SK walaupun sesudah 47 tahun merdeka!
Penempatan pengarah, pengetua, guru besar dan jawatan-jawatan penting mestilah mendapat persetujuan pihak yang memerintah - dan calon yang tidak sehaluan dengan parti, dianggap kurang sesuai pula. Ketua-ketua di SRJK Cina dan Tamil juga perlu mendapat ehsan daripada parti-parti yang berkaitan sebelum diterima.
Dalam keadaan ini, siapakah dapat memikirkan hal perpaduan bangsa Malaysia? Semangat perkauman sudah begitu tebal dalam kalangan pendidik sendiri - malah di maktab-maktab perguruan sekali pun.
Sistem yang ada pada hari ini mewujudkan sebilangan besar pendidik yang menganggap dirinya perlu memastikan anak kaumnya melebihi anak kaum lain, malah, mesti meramaikan pegawai kaumnya sendiri supaya terus melebihi kaum-kaum lain. Bagaimanakah 'perpaduan' akan wujud dalam kalangan guru? Jauh sekalilah dalam kalangan pelajar.
Kecuali pendidikan dikendalikan oleh sebuah suruhanjaya yang bebas, yang berpegang kepada prinsip-prinsip kebangsaan yang utuh dengan mengambil kira keperluan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, maka perpaduan dalam ertikata sebenarnya, tidak mungkin tercapai. Sistem pada hari ini sebenarnya menyemaikan rasa kurang senang antara pelajar yang berlainan kaum.
Perpaduan dapat dicapai melalui sistem persekolahan yang sama, jika dikendalikan secara profesional tanpa memberikan peluang pada tanggapan mengenai sebarang diskriminasi. Selagi ada tanggapan diskriminasi dalam sistem pendidikan, selagi itulah dapat kita rumuskan bahawa belum wujud suasana untuk memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda kita.
Kita memang tahu perkara ini bukanlah mudah, dan tidak mungkin tercapai dalam jangka waktu yang pendek. Tetapi, keanihan yang membingungkan kita - walaupun kita membanggakan diri dengan pelbagai kepakaran - kita belum pun mengorak langkah ke arah itu.
Apakan daya kita, pemimpin politik kita akan terus menguasai sistem pendidikan, dan istilah 'perpaduan' akan terus mendapat makna yang khas daripada mereka.
