Saya merujuk kepada artikel M Bakri Musa yang bertajuk Teach Islamic Studies in English .
Tidak dinafikan bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi muda kita semakin merosot. Tidak hairanlah mengapa kebanyakan graduan dari universiti tempatan gagal memasuki sektor swasta. Oleh itu, langkah untuk mengajar pendidikan Islam dalam bahasa Inggeris merupakan satu cadangan yang amat bijak.
Keberkesanan langkah mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris masih belum dapat dipastikan. Pada pendapat saya, langkah ini hanya dapat memperkayakan vokabulari seseorang dalam bidang tersebut sahaja.
Bagaimana pula dalam bidang yang lebih universal? Cuba tanya mana-mana pelajar Islam sekolah menengah erti maha pengasih dan penyayang (most beneficient most merciful) dalam bahasa Inggeris.
Ataupun yang lebih mudah pencipta langit dan bumi (creator of heaven and earth). Saya yakin anda akan melihat renungan bodoh. Pengajaran pendidikan Islam dalam bahasa Inggeris mampu menguatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pemuda pemudi Islam di negara ini.
Dalam era dunia tanpa sempadan ini, agama Islam dicemuh terutamanya semenjak peristiwa 11 September. Lihat sahaja forum perbincangan di Internet. Sekali-sekala terpampang artikel yang mampu menggugat iman seseorang mukmin. Hujah-hujah yang diberikan bagaikan ditulis oleh seseorang yang banyak membuat kajian tentang Islam.
Mereka mampu memutarbelitkan terjemahan kitab al-Quran sehinggakan mampu membuat si pembaca berfikir sejenak. Apa yang menyedihkan jarang sekali ada Muslim yang bangkit menangkis fitnah-fitnah ini. Jika ada pun mereka pula dikutuk kerana penggunaan bahasa Inggeris yang rosak.
Untuk berdaya maju kita harus berani berfikir di luar segiempat. Saya setuju dengan M Bakri Musa bahawa semua matapelajaran (kecuali Bahasa Malaysia) harus diajar dalam Bahasa Inggeris (secara berperingkat) barulah Malaysia mampu menjadi regional education hub.
Semoga satu hari nanti kita mampu menandingi Australia dalam bidang pendidikan serantau.
