Most Read
Most Commented
Read more like this

Sebagai pelajar, kita sedia maklum sekiranya ingin berjaya, kita perlu berusaha. Kaedahnya usahanya. Belajar bersungguh-sungguh siang dan malam. Menyediakan jadual belajar yang konsisten. Menumpukan perhatian kepada apa yang kita pelajari.

Kalau ingin disenaraikan, berjela-jela kaedah yang kita boleh sediakan kerana sebagai pelajar, kita tahu apa yang kita perlukan untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi.

Demikian juga halnya sekiranya kita seorang pemain bola sepak. Kita tahu kita perlu berlatih, kita tahu kita perlu punya jadual yang konsisten. Dan dan kita tahu, kita harus ada tumpuan untuk mencapai tahap permainan yang boleh dibanggakan.

Namun terkadang kita lupa ... kita juga punya satu lagi tugas yang dihadiahkan bukan kepada semua manusia bernyawa. Tugas sebagai seorang Muslim. Seorang yang beragama Islam, dan seorang yang membawa nama Islam ke mana sahaja kita bertapak.

Sebagaimana seorang pelajar atau seorang pemain bola sepak, kita juga wajar memahami bahawa konsepnya juga adalah sama. Bahkan, Islamlah yang mengajarkan konsep itu kepada kita. Kita mesti punya kesungguhan dalam beragama. Kita mesti punya jadual yang teratur dalam beragama. Kita mesti punya kesungguhan dalam beragama.

Kita sedih apabila imej Islam diburukkan menggunakan media dunia. Kita sayu bila ada pihak menggunakan nama Islam walaupun melakukan perkara yang tidak Islamik. Kita kata, 'itu bukan Islam ... itu cuma perangai sebahagian Muslim'.

Tapi pada masa yang sama kita lupa, bahawa Muslim itulah Islam. Muslim itulah yang membawa imej seorang Islam. Masyarakat tidak melihat orang Nasrani jika ingin tahu mengenai Islam.

Mereka tidak melihat kepada orang Yahudi untuk mengetahui apa itu Islam. Mereka tidak merujuk kepada orang Buddha kalau mereka tidak tahu apakah Islam sebenarnya.

Tetapi rujukan mereka adalah Muslim. Justeru itu, Muslim tidak punya alasan selain mengamalkan apa yang Islam ajarkan. Jika tidak, siapa lagi yang mahu kita harapkan untuk membawa imej Islam yang kita agung-agungkan?

Demikian kepentingan kita menjaga imej kita sebagai seorang Islam di mata masyarakat, terutama sekali apabila berdepan dengan masyarakat keliling kita yang rata-ratanya bukan Islam.

Marilah kita selalu mengingatkan satu sama lain, kerana itu tugas kita. Tugas kita bukan mengeji mereka yang alpa, tetapi tugas kita ialah mengingatkan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS