Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya amat terkejut ketika melayari lamanweb Harakah Online , bukannya kerana membaca berita yang di muatkan dalam lamanweb rasmi parti PAS itu, tetapi saya terkejut kerana terlihat satu kolum SMS yang bertajuk 'Ulama mesti memerintah, Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar hingga akhir hayat, SMS ke 32168' .

Apa sebenarnya yang berlaku sekarang ini? Apakah Nik Aziz teringin mengikut jejak Tun Mahathir Mohamad. Kalau Mahathir menjadi perdana menteri selama 20 tahun? Apakah Nik Aziz juga ingin memegang jawatan menteri besar Kelantan sampai akhir hayat?

Kenapa beliau (Nik Aziz) terlalu tamakkan kerusi menteri besar Kelantan itu, sampai sanggup mengadakan satu kolum chat di lamanweb Harakah Online ?

Sebenarnya, angin-angin Nik Aziz tidak mahu melepaskan jawatan MB Kelantan dapat saya rasakan berberapa bulan lalu, sewaktu timbulnya khabar angin dan kemudianya menjadi cerita benar tentang 'secret deal' di antara salah seorang pemimpin PAS, Husam Musa, dan menantu Pak Lah, Khairy Jamaludin.

Cerita itu langsung tidak diulas dengan tepat dalam beberapa lamanweb pro-pembangkang, seolah-olah ianya 'ditutup' daripada pengetahuan awam.

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya apakah 'secret deal' antara PAS dan Umno ini? Diringkaskan, cerita mengenai 'secret deal' ini ialah, pengguguran petisyen pilihanraya di Kelantan dan Terengganu.

Ia bermaksud semua petisyen pilihanraya yang di hantar oleh PAS dan Umno digugurkan dan kemenangan di Kelantan di berikan kepada PAS. Dan PAS juga mengiktiraf keputusan pilihanraya umum yang ke-11 itu dijalankan adil dan telus. Manakala petisyen di Terengganu di gugurkan dan Terengganu diberikan kepada Umno.

Dan menurut maklumat yang saya terima, Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang tidak tahu menahu mengenai 'secret deal' itu. Ianya dijalankan secara rahsia oleh Nik Aziz dan Husam dan sepatutnya bukan Khairy yang terlibat.

Orangnya ialah Mustapa Mohamed. Tetapi disebabkan Tok Pa ada kes (dakwaan menggunakan wang Majlis Tindakan Ekonomi Negara) untuk kempen pilihanraya di tempatnya, maka Pak Lah melihat kemungkinan PAS akan menekan Umno dan meminta benda yang tidak sepatutnya.

Maka diletakkanlah anak menantunya, sebagai pengganti Tok Pa. Mengikut maklumat, 'secret deal' ini berlaku di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur, dalam keadaan yang harmoni dan mesra.

Untuk mengetahui cerita lanjut tentang 'secret deal' ini, pembaca boleh terus berhubung dengan Khairy, Husam dan Tok Guru Nik Aziz melalui setiausaha politik, setiausaha sulit, setiausaha akhbar dan setiausaha peribadi masing-masing. Tapi jangan haraplah mereka akan melayan perkara ini.

Sebenarnya inilah satu perkara yang terkutuk yang pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.

Cuba bayangkan.Satu parti yang membawa wajah Islam yang mana mereka sahaja yang Islam, tidak ada parti lain yang Islam, melainkan mereka sahaja yang Islam tergamak membuat satu 'deal' dengan musuh mereka yang selama 50 tahun mereka kutuk sebagai sekular, kafir dan pelbagai lagi, semata-mata untuk menjaga kedudukan dua tiga orang penting mereka.

Dan yang penting sekali ialah memastikan Tok Guru Nik Aziz kekal sebagai menteri besar Kelantan - atau mungkin itu salah satu agenda yang tersirat dalam Dokumen Negara Islam.

Apakah ulama seperti ini yang perlu kita ikut? Apakah ulama seperti ini yang perlu kita hormati?

Adakah Islam mengajarnya umatnya menjadi makhluk lidah bercabang? Mereka yang cerdik politik dan tidak taksub kepada individu tentu, akan dapat menilai perbuatan mereka ini.

Kesian Ustaz Ismail Kamus yang terpaksa turun naik mahkamah untuk beri keterangan mengenai petisyen yang beliau failkan, sedangkan rakan seperjuangan beliau di Kelantan boleh relak dengan 'deal' dengan Umno.

Dan ucapan tahniah kepada Faizal Sanusi dari parti Keadilan kerana mendedah dan membuat laporan polis mengenai dakwaan penyelewengan wang MTEN oleh Tok Pa.

Sepatutnya, laporan polis itu dibuat oleh orang-orang dalam kerajaan PAS Kelantan. (Orang Kuala Lumpur lebih prihatin dari orang Kelantan).


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS