Perdebatan sama ada bahasa Inggeris lebih penting daripada bahasa Malaysia (Melayu?) nampaknya belum reda meskipun kita akan menyambut ulangtahun Kemerdekaan ke-47 hujung bulan ini.
Bahawa rakyat Malaysia harus rasa bangga dengan suatu identiti diri dalam bentuk bahasa, tidak harus kita pertikaikan. Malangnya, hal asas ini pun masih kita pertikaikan dalam pelbagai majlis yang kita anjurkan sebagai orang Malaysia.
Yang paling sukar untuk memberikan kedudukan yang wajar kepada bahasa Malaysia ialah sektor swasta, termasuk badan-badan bukan kerajaan. Bahasa Inggeris, malah bahasa Mandarin, digunakan sebagai identiti masing-masing walaupun dalam aktiviti rasmi mereka.
Penggunaan bahasa Tamil dalam konteks ini agak kurang kerana kaum berkenaan belum memonopoli apa-apa bidang pada peringkat nasional.
Walaupun peluang untuk mempelajari bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua diberikan kepada semua, warganegara Malaysia haruslah memahami bahawa bahasa ibunda digunakan dalam hal-ehwal keluarga, pergaulan dan aktiviti di kalangan kaum itu sendiri.
Guru-guru bahasa Inggeris kita sudah berusaha selama hampir setengah abad, tetapi masih belum dapat menanam minat terhadap bahasa itu, khususnya di kawasan luar bandar.
Perbelanjaan yang banyak dan pembinaan prasarana yang mengkagumkan tidak akan membawa apa-apa perubahan yang kita harapkan, baik dalam penguasaan serta sikap kita terhadap bahasa Malaysia, mahupun terhadap bahasa Inggeris
Sikap yang keterlaluan terhadap bahasa Malaysia timbul kerana dasar serta amalan pihak yang berkuasa juga. Pada mulanya, kelayakan dan kefasihan dalam Bahasa Kebangsaan memang diberikan penekanan yang wajar dalam pengambilan kakitangan kerajaan dan untuk kenaikan pangkat mereka.
Tetapi, apabila pihak berkuasa menyedari bahawa banyak pelajar bukan Melayu mudah menguasai bahasa Malaysia, pihaknya berubah dasar kepada penekanan pada ras dan agama. Kelulusan maupun kefasihan dalam bahasa Malaysia tidak menjadi kriteria utama.
Tidak hairanlah jika warganegara Malaysia terpengaruh dengan perubahan dasar yang diamalkan oleh kerajaan di negara ini dengan menampilkan respon secara pasif.
Akibatnya, sektor awam dikuasai kaum bumiputera, manakala sektor swasta dikuasai bukan bumiputera. Jika bahasa Malaysia digunakan oleh sektor awam, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin pula digunakan oleh sektor swasta. Peluang pekerjaan kepada kaum-kaum berkenaan juga lebih di sektor masing-masing.
Adakah pemimpin kerajaan kita tidak dapat memahami perpecahan yang kurang sihat ini? Kecenderungan ini sudah lama jelas, tetapi keuntungan jangka pendek yang dicari oleh pemimpin politik kaum, menyebabkan dasar ini berterusan.
Ibu bapa yang mengalami keadaan sebenar dalam masyarakat, sudah tentu mempengaruhi anak-anaknya untuk menumpukan perhatian terhadap bahasa pilihan mereka. Jika kelulusan dalam bahasa Malaysia menjadi syarat, maka anak mereka belajar bahasa berkenaan untuk memenuhi syarat sahaja.
Pelajar bumiputera pula dipengaruhi oleh yang menentang bahasa Inggeris, bahawa mereka boleh maju dengan menggunakan bahasa Melayu sahaja. Istilah 'Bahasa Malaysia' tidak disenangi oleh masyarakat ini, kerana tidak sanggup berkompromi dengan kaum-kaum lain di negara.
Sehingga kini, matapelajaran di sekolah kembali dikenali sebagai 'Bahasa Melayu'. Satu lagi contoh permainan dasar oleh pihak berkuasa.
Kesimpulannya, tanggapan yang berlainan wujud terhadap bahasa Melayu di kalangan pelbagai kaum di negara ini akibat dasar dan perubahan dasar kerajaan yang gagal menggunakan bahasa ini sebagai alat untuk menyatupadukan masyarakat.
Kita semua memang faham akan teori tentang peri pentingnya pendidikan melalui bahasa ibunda. Jika orang Melayu mendidik anaknya melalui bahasa Melayu, orang Cina pula dengan bahasa Mandarin dan orang Tamil dengan bahasa Tamil.
Apakah nasib kaum minoriti lain seperti Punjabi, Malayalee, Iban, Kadazan dan sebagainya? Tidakkah mereka juga ada hak untuk mendidik anak mereka melalui bahasa mereka?
Adakah hak ini khusus kepada pihak majoriti? Adakah gagasan 'negara', 'kebangsaan' tidak bermakna? Adakah semua ilmu mesti dipelajari menggunakan bahasa ibunda dari peringkat awal hingga ke pringkat akhir? Wajarkah ini dari segi praktikalnya? Adakah kita hidup terpisah dari dunia luar? Perlukah kita menguasai alat perhubungan yang berkesan dengan dunia luar?
Nampaknya kita sangat kabur apabila kita berhadapan dengan soalan-soalan seperti ini. Lebih-lebih lagi, kita tidak dapat melihat seluruh persoalan ini dari sudut negara dan masyarakat Malaysia.
Yang merunsingkan kita ialah fakta bahawa suasana yang wujud akibat dasar rojak kerajaan kita, kini sudah mewujudkan suatu generasi yang kurang fasih dalam bahasa Melayu maupun bahasa Inggeris, yang diajar secara wajib di sekolah-sekolah kita.
Kelulusan dalam peperiksaan nampaknya meningkat saban tahun, tetapi apabila lepasan institusi pendidikan ini menjejak kaki di alam pekerjaan, pecahlah tembelangnya!
Pada suatu ketika dahulu, anak Malaysia yang fasih dalam bahasa Inggeris yang standard dapat melaungkan suara di medan antarabangsa dan menjadi kebanggaan kita. Kini kita menghadapi kesukaran. Bagaimana pula nasib bahasa Melayu?
Peraturan yang ditentukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tidak pun diikuti oleh media massa dan penulis buku di negara ini. Dalam suasana yang tidak menentu ini, yang fasih menggunakan bahasa Melayu baku juga sudah mula berkurangan.
Tidaklah aneh bahasa rojak sudah mula kita terima di tempat-tempat awam, media massa, malah dalam majlis-majlis rasmi sekalipun.
Kecuali para cendekiawan kita dapat menggubal dasar bahasa yang sesuai tanpa membenarkan perhitungan politik perkauman dan memastikan penguatkuasaannya secara adil lagi tegas, yang meliputi semua warganegara, maka selama itulah kita akan terus berhadapan dengan dilemma bahasa dengan setiap kumpulan menegakkan pendirian masing-masing.
Maka kita akan terus berbangga dengan dasar bahasa rojak kita.
