Most Read
Most Commented
Read more like this

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah mengumumkan bahawa ekonomi negara kembali mencecah angka keramat lapan peratus bagi suku kedua tahun ini.

Tahniah kepada kesemua rakyat negara ini yang bekerja kuat berhempas pulas tanpa mengira penat lelah bagi memastikan ekonomi negara kembali ke landasannya sejak mengalami kegawatan pada tahun 1998.

Masih jelas di ingatan betapa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada suatu ketika, saban hari menepuk dada kerana angka ajaib tersebut. Hampir sepuluh tahun lamanya ekonomi Malaysia berkembang dengan kadar lapan peratus satu angka yang amat diminati oleh rakan-rakan keturunan Tionghua.

Alangkah bahagianya kita warga Malaysia pada ketika itu kerana makmurnya ekonomi, sehinggakan hendak membeli kereta Proton Iswara pun terpaksa menunggu hingga lima bulan lamanya.

Apatah lagi bagi mereka yang memiliki banyak saham. Ada yang hidup dengan semata-mata mengambil keuntungan berjual beli saham tanpa perlu bersusah payah bangun seawal enam pagi untuk mengelak kesesakan lalulintas ketika ke tempat kerja.

Namun setiap yang naik pasti turun. Kegawatan ekonomi 1998 rupa-rupanya membawa musibah besar kepada kita semua. Mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merengkok menahan kesakitan di penjara, pun ada kena mengena dengan keadaan ekonomi negara yang mula menjunam pada masa itu.

Tetapi ekonomi negara - kalau diukur pada angka lapan itu - nampaknya sudah pulih sepenuhnya. Ibarat Beckham pulih dari kecederaan sepenuhnya, dan kembali menjaringkan gol.

Terus terang, saya gembira ekonomi meningkat, tanpa mengira siapa yang menerajui negara bersama kementerian kewangan, sama ada namanya Anwar, Mahathir atau Abdullah.

Yang penting, kita mesti berpijak di bumi nyata. Angka lapan hanyalah pada kertas akhbar atau corong-corong radio, dan tidak semestinya membawa erti kepada semua. Apalah ertinya angka lapan itu kalau 50,000 graduan yang bergolok-bergadai untuk mendaftarkan diri di menara gading, kini hanya menebar roti canai di warung usang atau menjual Ramly Burger di tepi jalan?

Apalah ertinya angka lapan itu kalau pemandu teksi terpaksa mengikat perut kerana harga petrol semakin meningkat, sedangkan tambang kekal ditakuk lama? Apalah ertinya angka lapan itu kalau harga tol meningkat, sedangkan rakyat terpaksa membayar tol 10 kali sehari untuk berulang alik kerja dari Kajang ke Petaling Jaya?

Apalah ertinya angka lapan itu kalau satu-satunya lebuhraya 'percuma' yang disediakan oleh kerajaan, retak menanti belah sebelum umurnya mencecah dua tahun? Dan apalah ertinya angka lapan itu jika wang saku seringgit pun tidak bermakna lagi buat pelajar darjah satu?

Alangkah baiknya kalau kemakmuran negara ini dikongsi bersama, dan bukannya jatuh kepada tangan-tangan rakus mereka yang rapat dengan orang-orang besar. Alangkah baiknya jika kenaikan harga minyak di pasaran global menjadi rahmat kepada semua warga negara ini yang bekerja siang dan malam tanpa mengira penat lelah.

Namun, rakyat cuma boleh berharap, sama seperti anak kecil di kem pelarian di Afrika menanti secawan susu. Kalaulah pentadbiran hari ini prihatin, sebenarnya kitalah semua orang yang

paling gembira.

Rakyat Malaysialah paling beruntung. Zeti juga mengumumkan bahawa bagi kenaikan setiap US dollar bagi harga minyak mentah, Malaysia meraih keuntungan antara RM100 juta dan RM200 juta!

Bayangkanlah betapa berlipat gandanya pertambahan pendapatan negara berikutan kenaikan harga minyak mentah dari sekitar US$25 kepada US$50 bagi setiap tong.

Yang sedihnya, bukannya rahmat besar ini hendak dikongsi bersama dengan rakyat, tetapi isu subisidi petrol pula yang asyik digembar-gemburkan. Kalaulah kerajaan boleh mendapat untung hampir 100 peratus dari ekspot minyak, apakah perlu lagi menekan rakyat negara ini dengan mengurangkan subsidi yang membawa kepada kenaikan harga minyak?

Matapelajaran Ekonomi 101 pun ada dengan panjang lebar menceritakan mengenai rangkaian inflasi dan kesan berganda kenaikan harga minyak atau barangan keperluan lain.

Kerajaan tidak perlulah menafikan perkara ini dengan mengatakan kalau harga minyak di Malaysia terus naik (akibat pengurangan subsidi), kesan inflasinya sekadar 'minimal'.

Mungkin saya tersilap, tetapi saya berpendapat kesan yang 'minimal' cuma kepada orang kaya, orang yang memandu kereta besar, orang bergelar Dato' atau Tan Sri.

Tentunya kenaikan harga minyak, walaupun cuma tiga sen lagi (pada ramalan saya), sebenarnya akan menbawa kesan yang amat besar kepada nelayan, pemandu teksi, tukang sapu, penternak burung puyuh, polis pencen atau pun graduan yang tiada pekerjaan tetap.

Kalau pada zaman Anwar dulu, ekonomi berkembang lapan peratus, harga petrol RM1.10 seliter. Bila Anwar tiada, harga petrol memancut-mancut naik, kini hampir mencecah RM1.40 seliter atau hampir 30 peratus lebih mahal.

Maknanya, kalau dulu bagi setiap RM10, sebuah kereta boleh dipandu 100 kilometer, hari ini dengan bagi nilai wang yang sama, kereta tersebut cuma boleh dipandu pada jarak 70 kilometer sahaja.

Kalau dahulu (ketika RM1.10 seliter) wargakota membelanjakan RM300 untuk petrol sebulan, ia kini mencecah RM420 sebulan secara kasarnya. Apakah kenaikan RM120 ini tidak memberi kesan besar kepada guru sekolah yang beranak lima di Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Pulau Pinang?

Ini belum diambilkira kenaikan barangan lain akibat kesan rantaian harga minyak ini. Syarikat lori pun tak mahu rugi. Nelayan pun tak mampu turun ke laut. Harga ikan naik. Akhirnya semua naik, yang tak naik, cuma gaji. Gaji guru cuma naik RM50 setahun.

Saya tahu ada syarikat yang pekerjanya tiada kenaikan gaji tiga tahun berturut-turut. Majikannya kata, kalau tak suka, berhenti kerja, seribu lagi mari.

Pelik bin ajaib, bila negara semakin kaya, rakyat semakin tersepit. Rakyat beri mandat bukan untuk kerajaan terus menekan rakyat, tetapi untuk mencari formula memakmurkan kehidupan rakyat semua, tanpa mengira warganegara itu, seorang penanam tembakau di Tumpat atau seorang Tan Sri di Bukit Tunku.

Hari ini, rakyat sudah malas bersuara. Minyak naik pun tak ada demonstrasi. Tol naik pun tak ada demonstrasi. Pembangkang pun makin lesu. Tiada lagi suara Mat Sabu, tiada lagi Mahfuz yang membuatkan sidang Parlimen haru-biru.

Apa nak jadi, jadilah... Sebenarnya, rakyat sudah bosan dengan segala bentuk retorik. Patutlah cuma beberapa kerat sahaja rakyat yang mengibar bendera tahun ini. Itupun mungkin bendera percuma.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS