Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Selamat pulang Anwar Ibrahim! Setelah enam tahun, akhirnya masa itu tiba juga. Setelah enam tahun, Anwar dan peguambelanya berjuang dari satu mahkamah ke satu mahkamah yang lain, akhirnya terungkap awapan dari rentetan panjang sejarah keadilan negara Azizan saksi yang tak boleh dipercayai. Sebetulnya, dunia sudah mengetahui hakikat itu.

Di kalangan mereka pakar undang-undang, ahli akademik, politikus dan pengamal media juga sedar. Cuma, kadang-kadang untuk memuaskan selera orang yang berada di atas mereka (diri sendiri juga tentunya), maka berlakonlah seolah-olah tidak tahu.

Tahniah kepada Anwar dan para penyokongnya yang sekian lama berjuang, termasuk yang sanggup untuk menginap di balai polis dan Pusat Tahanan Kamunting. Pembebasan Anwar adalah permulaan kemenangan untuk proses menegakkan keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Akankah sekali lagi merubah lanskap baru politik Malaysia selepas ini? Tentunya di kalangan pendokong parti Alternatif itulah sebahagian dari citranya. Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang sejak akhir-akhir ini sedang ditandai kemerosotan pengaruh dan kehilangan sosok pemimpin, barangkali bakal mendapat manfaat.

Itu pun kalau Anwar sekali lagi bersedia untuk mengemudikan parti alternatif. PAS yang terumbang-ambing di antara memuaskan kehendak massa (khususnya golongan muda) dan mempertahankan ideologi lama, boleh menggunakan ikon Anwar sebagai idola perjuangan.

Gejolak dalam parti Keadilan juga harapnya akan reda dengan kembalinya tokoh karismatik yang memulakan sejarah parti itu sendiri. Di saat menjelangnya pilihanraya ke-11 lalu, ramai tokoh pemimpin mudanya menyongsong arah bertukar parti mungkin kerana melihat perjuangan Keadilan sudah bernoktah.

Sebahagiannya pula tentu sahaja mempunyai sebab musabab lain mungkin gula-gula jawatan dalam Umno, peluang perniagaan, atau juga mungkin sudah lelah untuk melaungkan reformasi.

Dan yang masih tinggal terus mendokong Anwar seperti Ezam Mohd Nor dan Azmin Ali yang sentiasa ada di sampingnya itulah teman perjuangan yang paling setia, setidak-tidaknya insan yang masih punya harga diri. Bagaimana pula agaknya Ruslan Kassim sekarang? Kalaulah kita dapat menyelam hati dan perasaannya saat ini.

Kepulangan Anwar adalah kembalinya ikon baru untuk perjuangan menuntut perubahan. Apa yang akan berlaku tidak dapat kita pastikan. Cuma kita berharap, sekalipun mungkin tidak akan ada lagi demontrasi jalanan menuntut keadilan untuk Anwar, agenda untuk menuntut keadilan yang lain masih terlalu banyak yang perlu diperjuangkan.

Kronisme dan korupsi tetap sahaja akan terus tumbuh di mana-mana. Anak-anak Malaysia yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak boleh kita pencilkan. Isu pendidikan, kebebasan akhbar, hak bersuara dan berkumpul juga adalah antara permasalahan yang tak pernah akan selesai.

Paling utama kehadiran Anwar diharap mampu mengembalikan gagasan Alternatif seperti era 1999. DAP, Keadilan dan PAS harapnya dapat bersanding kembali untuk membangunkan lanskap politik baru untuk kesejahteraan rakyat.

Pengalaman enam tahun dipenjara hanya kerana segalanya tidak relevan dan kekhilafan mahkamah untuk menyedari betapa Azizan seorang pembohong tentu sahaja bakal menjadikan Anwar insan lebih kuat untuk menghadapi semua ini. Salam buat Anwar. Lakukanlah sesuatu!.

ADS