Saya merujuk kepada kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Datuk Haji Ayub bin Rahmat, pada 4 Jun bahawa Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HAS) akan mengutip bayaran parkir mulai 15hb Jun 2015.
Pengguna sebelum ini boleh meletak kereta di kawasan itu secara percuma.
Sistem letak kereta di HSA akan diswastakan dan diurus oleh Metro Parking dan orang awam akan dicajkan bayaran RM2 minimum untuk 3 jam pertama dan RM1 setiap jam selebihnya dan RM5 sehari untuk pesakit kronik termasuk penerima rawatan dialisis.
Saya rasa adalah tidak adil dan wajar untuk kerajaan menswastakan sistem parkir kereta di HSA kerana ini akan hanya membebankan lagi rakyat yang kini terpaksa menghadapi cabaran kos sara hidup yang kian naik dan juga limpahan kesan GST yang masih dirasai setiap hari oleh rakyat.
Seperti sedia maklum, hospital awam seperti HSA adalah terbuka kepada semua golongan rakyat dan perkhidmatan perubatannya amat diperlukan terutamanya oleh golongan pendapatan bawahan yang tidak mampu mendapat perkhidmatan rawatan di klinik atau hospital swasta.
Contohnya, seorang pesakit dialysis dari Kulai yang terpaksa pergi ke HSA setiap minggu perlu menanggung kos petrol berpuluh-puluh ringgit setiap kali ke hospital dan kini ditambah pula dengan kos parkir kereta.
Tempat letak kereta bertingkat
Ini merupakan satu beban yang amat besar dan terasa oleh golongan bawahan terutamanya yang sakit dan tua.
Pelaksanaan bayaran parking tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta di HSA kerana orang awam masih perlu pergi ke hospital dan meletak kereta di dalam kompaun hospital baik untuk mendapat rawatan atau pun melawat ahli keluarga.
Kesan daripada pengutipan bayaran parking hanya akan memaksa lebih ramai orang awam meletak kereta di kawasan larangan seperti sebelah tepi jalan dan ini bukan sahaja mengakibatkan orang awam melakukan kesalahan trafik malah kesesakan lalu lintas dan keselamatan orang awam juga akan terjejas, terutamanya kanak-kanak dan warga emas memandangkan HSA terletak disebelah jalan utama/jalan pantai.
Kerajaan negeri Johor patut membatalkan atau menangguhkan perlaksanaan ini sehingga satu tarikh yang lain kerana sekarang bukan masa yang sesuai.
Untuk mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di HSA, kerajaan boleh mengkaji sama ada boleh membina satu bangunan letak kereta bertingkat di kawasan berdekatan dan pada masa yang sama memperbaiki lagi sistem pengangkutan awam Johor Bahru agar lebih ramai orang digalakkan mengambil bas ke hospital untuk rawatan ringan atau untuk melawat pesakit.
Sekiranya, penswastaan sistem pembayaran letek kereta di HSA yang merupakan sebuah hospital awam di Johor dilaksanakan, saya khuatir hospital awam lain di Johor juga akan dikenakan bayaran pada masa yang akan datang.
JIMMY PUAH WEE TSE timbalan pengerusi PKR Johor dan ADUN Bukit Batu.
