Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya bekas pelajar Universiti Malaya dan sekarang masih bertugas di Universiti Malaya. Izinkan saya berkongsi pengalaman saya sebagai warga universiti.

Di zaman saya membuat ijazah dasar, pilihanraya kampus boleh dikatakan bebas. Saya tidak nafikan setiap pakatan yang bertanding pasti disokong oleh pihak luar - hanya sokongan dan bantuan, bukan campurtangan.

Pelajar yang berminat dalam politik kampus biasanya mereka yang memandang ke hadapan dan tidak semata-mata bergelumang dengan buku. Seteruk-teruk naib canselor masa dulu pun, tidak pernah mengganggu kempen pilihanraya kami. Walaupun tidak pernah bertanding, saya ikut berkempen untuk calon yang saya suka. Itulah demokrasi kampus.

Tetapi sejak demokrasi disekat di akhir-akhir pemerintahan Dr.Mahathir Mohamad, kerajaan campurtangan. Bermulalah perlantikan naib canselor yang memang jelas menjadi wakil kerajaan, walaupun beliau sepatutnya bersifat sebagai ahli akademik. Naib canselor yang mengekalkan sifat akademik mereka tidak akan kekal lama - seperti Prof Anuar Zaini.

Naib canselor sebelumnya juga boleh dikatakan agak terbuka, terutama Prof Di Raja Ungku Aziz yang tidak mencampuradukkan politik dan kampus. Tetapi setelah Anuar Zaini turun, naiklah Prof Hashim Yaakob yang jelas menyokong pihak tertentu dan tidak lagi bersifat terbuka.

Saya percaya orang seperti Hashim Yaakob akan kekal lama menjadi naib canselor kerana sokongan pihak kerajaan.

Tidak mengapa, kerana semakin masyarakat kampus ditekan, semakinlah mereka akan belajar mengenai hak-hak mereka sebagai pelajar dan juga sebagai kakitangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS