Merujuk kepada surat pembaca Kelantan71 berkenaan tajuk di atas.
Saya perlu menekankan beberapa perkara asas dalam membincangkan tajuk ini untuk perhatian sidang pembaca sekalian. Dewan Pemuda Pas menganjurkan Konsert tersebut adalah sebagai konsert alternatif kepada program hiburan melampau yang terlalu berleluasa sekarang ini termasuk yang dianjurkan melibatkan kumpulan dari luar negara.
Konsert ini bukannya bertujuan sebagai alternatif kepada program yang telah sedia ada di dalam parti seperti ceramah, tazkirah, kuliah, usrah, liqa', qiamullail, ziarah dan sebagainya. Jadi konsert ini adalah alternatif kepada konsert yang melalaikan itu.
Apabila saudara Kelantan71 menyentuh penggunaan alatan muzik yang diharamkan, sepatutnya beliau membaca nas-nas yang berkenaan.
Menjadi tradisi di dalam Islam bahawa setiap hukum yang datang dari al-Quran dan Hadis adalah hukum yang putus tetapi sekiranya hukum tersebut datang secara pemahaman ulama' (ijtihad), maka sudah tentulah ijtihad lain boleh membatalkan hukum tersebut.
Penggunaan alatan muzik adalah cabang daripada hukum hiburan secara umumnya dan bukanlah manjadi hukum pokok.
Tuan Presiden PAS sendiri menyentuh perkara ini sebagai pertingkahan ulama'. Oleh itu kita mesti mengakui bahawa ada ulama' (yang sudah tentu lebih berilmu daripada kita) mengambil pendekatan bahawa alatan muzik itu dibenarkan walaupun mereka sendiri mungkin tidak meminati muzik tersebut.
Kita mungkin boleh mengambil hukum yang keras bagi diri dan keluarga kita tetapi kita tidak boleh menggunakan ia untuk masyarakat umumnya (dalam perkara ijtihad ini). Pada saya, perkara asas dalam konsert yang lebih menentukan hukumnya bukan terletak kepada alatan muzik tetapi lebih kepada perlaksanaannya.
Pergaulan bebas atau tidak, melalaikan dari solat atau tidak, mengganggu orang lain atau tidak, nyanyian yang mempunyai kata-kata mengarut atau tidak dan sebagainya. Kalau melihat kepada masalah ini, ia mungkin juga berlaku walaupun bukan dalam konsert.
Pergaulan yang agak terbuka juga berlaku di pasar. Adakah ke pasar itu haram? Bermain bolasepak juga boleh melalaikan sesetengah orang dari bersolat, adakah bermain bola sepak itu haram bagi semua orang?
Begitu jugalah masalah lainnya. Saya melihat Dewan Pemuda, dengan kelemahan yang ada padanya, telah menjaga perkara-perkara itu seboleh mungkin. Saya percaya ia adalah suatu yang dihalalkan dalam Islam sebagai alternatif kepada hiburan yang melalaikan itu.
Tentang keperluan konsert ini, saya merasakan konsert ini sangat diperlukan sekarang ini kerana Gerakan Islam wajib memberikan alternatif dari sesuatu yang diharamkan oleh Allah kepada sesuatu yang dihalalkan oleh Allah.
Dan Dewan Pemuda mengambil tanggungjawab ini. Kita juga mesti mengakui setiap manusia itu mempunyai jiwa dan kecenderungan masing-masing. Hasil kecenderungan itu, kalau sesuai dengan agama, ia akan menjadi ibadat kepada Allah.
Inilah Islam yang kita fahami. Menyekat langsung kecenderungan itu tanpa memberikan alternatif yang sesuai, bukanlah daripada agama.
