Teringat semasa menyambut Ramadhan dan Syawal di luar negara, di sebuah negara barat yang mana Islam merupakan agama minoriti. Pada malam-malam terakhir Ramadhan, umat Islam akan memenuhi masjid untuk beribadat bagi mendapat ganjaran berlipat ganda di penghujung bulan tersebut.
Berbeza dengan kita di Malaysia ini. Rata-ratanya masjid dan surau akan dipenuhi para jemaah menunaikan solat Tarawih hingga melimpah ke luar masjid atau surau. Tetapi apabila masuk minggu kedua dan seterusnya, masjid dan surau itu, hari demi hari semakin berkurangan bilangan safnya.
Mengapa ini boleh berlaku dalam negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan Islam adalah agama rasmi, manakala di negara barat dengan pelbagai maksiat, dugaan dan cabaran mereka lebih memahami erti penghayatan bulan Ramadhan?
Di Malaysia, bunyi mercun, meriam buluh, mainan bunga api semakin rancak apabila menjelang Syawal, sedangkan di negara barat, anak-anak muda Islam di sana tidak kenal pun apa itu mercun, bunga api atau meriam buluh, melainkan ketika perayaan hari kemerdekaan negara masing-masing.
Awal-awal puasa lagi kita di sini telah dipromosikan dengan pelbagai bentuk hiburan hari raya, baik melalui media cetak mahupun media elektronik, dan lagu-lagu raya semakin kerap berkumandang di udara, sehinggakan ramai menangis bukan kerana Ramadhan akan meninggalkan kita dengan membawa bersamanya Malam Lailatul Qadr, tetapi pilu mendengar lagu Dendangan Anak Perantau di pagi raya.
Seperkara lagi yang mengalihkan usaha kita untuk memenuhi masjid semasa Ramadhan ialah kita di Malaysia ini terlalu didedahkan dengan program berbuka puasa dengan tawaran "Buffet Berbuka Puasa" di restoran ternama dan hotel bertaraf antarabangsa.
Manakala umat Islam di negara barat pula lebih gemar mengadakan majlis berbuka puasa di masjid bagi mengeratkan lagi hubungan antara mereka, di samping dapat menjimatkan belanja serta memudahkan mereka menunaikan solat Tarawih.
Dalam hal membuat kuih muih dan persiapan raya yang lain, kebanyakan kita mengambil peluang di akhir Ramadhan untuk membeli-belah serta membuat segala persiapan raya. Jika ianya dilakukan di siang hari, maka kita akan kepenatan untuk melakukan ibadat pada malam hari.
Sekiranya persiapan raya ini dibuat di waktu malam, maka kita ketinggalan kelebihan bertarawih di masjid. Umat Islam di negara lain hanya membuat persiapan pada malam raya itu sendiri, kerana mereka hanya menyambut raya satu hari iaitu pada 1 Syawal. Berlainan dengan kita di sini, berpuasa sebulan, rayanya juga sebulan.
Untuk menghidupkan suasana Ramadhan sepertimana yang disarankan oleh Rasul SAW, setiap pihak haruslah memainkan peranan mereka. Untuk kita orang awam, sekiranya kita hendak membuat persiapan raya seperti membeli pakaian dan sebagainya, sebaiknya kita lakukan sebelum bulan Ramadhan lagi.
Pihak jawatankuasa masjid pula hendaklah memperbanyak dan mempelbagaikan program di sepanjang Ramadhan untuk menarik lebih ramai jemaah menghadiri masjid di akhir bulan tersebut, dengan program berbuka puasanya, sesi tazkirah dan taddarus al-Quran. Mungkin juga boleh difikirkan untuk mengadakan Bazar Ramadhan atau jualan kuih raya di perkarangan masjid.
Pihak media elektronik pula tidak perlulah terlalu mempromosikan program hiburan atau rancangan raya, kerana mereka yang hendak menonton rancangan tersebut akan tetap menontonnya.
Mungkin juga ada baiknya media cetak atau media elektronik menunjuk contoh bagaimana umat Islam di negara lain menyambut Ramadhan baik di negara barat mahupun di negara yang dilanda konflik seperti di Iraq, Palestin, Chechnya, Thailand.
Ini akan dapat memberi kesedaran kepada umat Islam di Malaysia agar menggunakan sepenuhnya suasana aman damai di negara kita ini untuk melakukan lebih banyak ibadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak serta mendoakan keamanan dan kesejahteraan untuk saudara-saudara kita di seluruh dunia.
