Malaysia masih belum terlepas lagi dengan kekeliruan yang tidak berkesudahan dalam soal identiti kenegaraan.
Saban tahun, soal siapa tuan, siapa pendatang, siapa pengkhianat, siapa majoriti, siapa minoriti akan terus muncul. Meskipun sudah berdekad lamanya menikmati kemerdekaan, namun, apabila menyentuh soal integrasi sosial, kita masih terperangkap dengan dasar pecah dan perintah.
Kalau benar kita ingin bersatu, kenapa tidak kita sendiri memulakan usaha menguatkan integrasi sosial?
Situasi kekeliruan identiti kenegaraan ini telah mengingatkan saya kembali kepada kursus semester lalu bertajuk 'Politik di Negara Membangun'.
Fokusnya adalah negara dunia ketiga yang melepasi era penjajahan dan memulakan pembinaan negara bangsa.
Saya mempelajari bahawa titik fokus bagi pembentukan negara adalah kesatuan kebangsaan selepas integrasi pelbagai etnik kaum di kawasan yang sebelum ini terjajah.
Bagaimanapun, usaha penyatuan kebangsaan ini akan terus dihalang oleh fikiran yang jumud. Disebabkan kejumudan ini, kita lebih suka mengapi-apikan soal perbezaan berbanding meraikannya. Kita juga alpa untuk menekankan soal persamaan yang dimiliki bersama.
Kejumudan ini berterusan apabila digunapakai oleh segelintir ahli politik dalam usaha meraih sokongan pengundi. Mereka inilah punca kegagalan gagasan negara bangsa yang diimpikan oleh pengasas negara sebelum ini.
Pengkaji John M Richardson dan Shinjinee Sen (1994) pernah memperkenalkan ungkapan “victim mentality” (mentaliti mangsa) yang dipergunakan oleh pemimpin etnik tertentu untuk mengekalkan kuasa mereka.
Dalam konteks Malaysia, bagi mengekalkan kedudukan di tampuk kuasa, ada pemimpin yang mengamalkan usaha pembodohan.
Retorik perkauman terus diapi-apikan di pentas-pentas politik sebagai modal. Di pentas lain, di sebuah pentas, timbul gebang soal kebangsaan. Beralih di sebuah pentas yang lain, soal perkauman pula digebangkan.
Maka, kejumudan akan kekal mencengkam di bumi Malaysia ini jika usaha pembentukan bangsa Malaysia tidak ditekankan. Persoalan tentang “siapa kita?” akan terus muncul saban tahun melangkaui zaman.
Saya ingin membangkitkan pula kata-kata bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin; “I am Malay first.”
Beliau adalah seorang pemimpin yang dipilih akar umbi berbilang latar, kata-kata beliau amatlah memberi kesan kepada usaha membentuk sebuah negara bangsa.
Ini berbeza dengan pendirian seorang lagi veteran Umno, Rafidah Aziz yang menggesa rakyat negara ini supaya mengakui dan berbangga dengan diri mereka sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu.
“Be Malaysian first, and while we are also proud to be a successful Malay, Chinese or Iban as it’s our heritage, we are more proud being citizens of our country, right?,” katanya dalam satu syarahan di Universiti Malaya.
Saya menyambut baik kenyataan beliau dan ia wajarlah terus ditekankan oleh segenap lapisan pemimpin dan akar umbi tanpa kira fahaman politik. Dari blok pembangkang, DAP adalah perintis kepada usaha membentuk sebuah bangsa Malaysia. Sikap ini kekal dan jelas sejak parti ini ditubuhkan.
Di akar umbi, kita seharusnya memainkan peranan aktif dalam membentuk sebuah bangsa Malaysia. Kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada saluran parti politik semata-mata kerana ia boleh dimanipulasi dengan pelbagai persepsi sempit.
Mungkin ramai yang berpendapat bahawa gerakan akar umbi di Malaysia telah mati. Realitinya, ia tetap wujud. Cuma, kita yang tidak ambil peduli. Maka, kita wajar bergerak dan memberikan pencerahan tentang idea bangsa Malaysia ini.
Saya menyambut gembira kempen ‘#IamMalaysianFirst’ yang dikemudi oleh aktivis sosial, Marina Mahathir.
Malaysia; kita masih belum terlambat untuk membetulkan asas negara bangsa kita. Dengan adanya pemimpin dan akar umbi yang waras, kita mampu membina Malaysia tanpa sebarang sentimen dan retorik kebencian dan pembodohan.
MUHAMMAD ARIFF MOHAMAD NIZAM pelajar jurusan hubungan antarabangsa, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak
