Sesetengah orang akan berkata terlalu awal untuk sesebuah parti yang hebat seperti PAS untuk memberikan layanan bertaraf A1 kepada Anwar Ibrahim.
Dalam menggambarkan beliau sebagai seorang yang berfikiran liberal kerana berhadapan dengan khalayak yang disifatkannya 'matang' seperti barisan peguam, beliau melontarkan pelbagai idea dan cadangan untuk membaiki parti PAS.
Antaranya ialah idea 'negara Islam tiada dalam agenda saya' dan mengharapkan PAS menilai semula idea tersebut sekiranya perjuangan parti ini ingin membuahkan hasil.
Untuk menunjukkan kewarasannya, beliau siap berpesan supaya idea dan soalan sedemikian (negara Islam) jangan diajukan kepada rakyat negeri-negeri 'Malay Heartland' supaya tidak menimbulkan masalah.
Ini bermakna Anwar telah menghina seluruh perjuangan PAS selama puluhan tahun ke belakang ini. Apa maknanya dokumen negara Islam PAS yang dipersetujui oleh semua saf kepimpinan, yang diketuai Ustaz Haron Din sekiranya usaha itu diperlekeh sebagai 'tiada dalam agenda saya'?
Sedangkan dokumen itu adalah ditulis berlandaskan pegangan kepada al-Quran dan Hadis. Apakah semudah itu hendak ditolak? Sekiranya demikian, apakah bezanya Anwar dengan DAP, yang sanggup berpatah arang berkerat rotan dengan PAS disebabkan perjuangan kita dalam menegakkan negara Islam.
Tiada guna kita bermusuh dengan Umno sekiranya kita juga ingin perjuangkan 'Islam moden' dengan menolak hukum hudud dan lainnya. Saya ingin bertanyakan beberapa soalan asas untuk mengingatkan kesombongan Anwar. Siapakah PAS tanpa penyokong 'kolot' di negeri Pantai Timur ini.
Apakah pegangan sebenar pengundi setia PAS ini. Apakah mereka faham dengan ideologi Islam yang dicanangkan Anwar yang mana, Islam pun tidak, sekular pun tidak. Kalau dua-dua bukan, manakah satu pegangan beliau?
Saya terkejut apabila Anwar mengingatkan pemimpin PAS bahawa ideologi PAS perlu dinilai semula, hanya beberapa bulan keluar dari penjara. Saya lebih terkejut apabila Anwar mengemukakan idea Islam bayangannya, yang langsung tidak berbeza dengan Islam Hadhari yang dikemukakan Pak Lah.
Kepada saf pimpinan PAS, saya meminta agar satu penilaian semula dilakukan terhadap tindak-tanduk kita selama ini. Sekiranya usaha-usaha mengubah ideologi PAS dilakukan berterusan, siapakah yang patut kita korbankan?
Pengikut setia dan 'kolot' kita di Pantai Timur atau pun anak emas baru kita yang seorang ini?
