Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tahun 2014 pastinya akan menjadi tahun yang paling diingati rakyat Malaysia, amnya Kelantan, akibat bencana Bah Kuning pada penghujung Disember.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), taburan hujan tertinggi yang direkodkan iaitu 1,295 mm selama tiga hari berturut-turut di Hulu Kelantan, Gua Musang ianya bersamaan dengan taburan hujan untuk 64 hari.

Menurut jabatan tersebut, banjir besar itu juga berpunca daripada kelompongan di beberapa kawasan tadahan hujan di negeri itu.

Jajahan yang paling teruk dilanda banjir ialah Kuala Krai yang melibatkan 1,927 buah rumah penduduk dihanyutkan arus. Kampung Karangan, Manjor, Manek Urai dan La'loh antara kampung yang teruk terjejas tahun lalu.

Sebaik sahaja masuk bulan November, para penduduk khususnya mereka yang berada di kawasan-kawasan yang mudah dinaiki air kembali resah. Manakan tidak, sehingga saat ini masih ada penduduk yang tinggal di dalam khemah sementara menunggu rumah baru yang dijanjikan.

Ada yang terus menagih simpati namun rintihan mereka seolah-olah tidak dipedulikan.

Walaupun MET dan JPS meramalkan skala banjir pada tahun ini di Kelantan tidak seteruk 2014, namun persediaan ke arah itu perlulah dipersiapkan seawal yang mungkin terutamanya dari aspek logistik.

Perbezaan ideologi politik perlu diketepikan oleh mana-mana individu terutamanya di peringkat kerajaan tempatan. Berdasarkan pengalaman saya semasa ditimpa bah kuning tahun lalu, ada bekalan makanan dan bantuan yang tidak dapat disampaikan secara menyeluruh disebabkan pemimpin yang tidak sebulu.

Ada juga mangsa yang degil dan enggan berpindah ke pusat pemindahan. Hal ini menyukarkan pasukan penyelamat. Mangsa banjir ini bimbang rumah dicerobohi semasa banjir dan hanya mahu berpindah apabila paras air meningkat.

Saya berharap semua pihak membuat persediaan lebih awal pada tahun ini.


AHAS HAIKAL pembaca Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS