ULASAN Tengahari semalam saya menerima pesanan bergambar yang amat mengejutkan. Gambar menunjukkan sesi makan besar dengan hidangan telur penyu.
Acara makan besar itu pula dihadiri oleh menteri persekutuan. Di Sabah, penyu jenis Hawksbill dan Green amat mudah ditemui. Namun, buat pencinta hidupan marin kita semua sedar penyu antara hidupan yang diancam kepupusan.
Sidang makan besar meraikan menteri dari persekutuan ini semacam satu penghinaan ke atas usaha pemuliharaan spesies penyu terutama sekali di wilayah Sabah.
Di Sabah, kita juga tahu penyu dan telur penyu dilindungi oleh undang-undang. Menjadi satu kesalahan sekiranya melanggar mana-mana peruntukan seperti tertulis. Ini bukan lagi soal politik parti. Soalnya meletakkan industri ecotourism negeri Sabah yang kaya dengan hidupan marin.
Ini juga soal usaha dan maruah aktivis yang sudah berusaha bertahun-tahun dalam memastikan spesies yang terancam ini dilindungi melalui pemuliharaan, program kesedaran dan penggubalan akta.
Soalnya juga, berani atau tidak kerajaan negeri Sabah mengambil tindakan tegas ke atas menteri daripada parti rakan.
Sebelum ini kita pernah melihat seorang menteri Sabah bertelagah pendapat mengenai soal keselamatan pantai timur Sabah sedikit masa dulu dengan rakan sejawatannya dari persekutuan.
Saya masih menunggu kenyataan berpihak baik dari kerajaan negeri, tuan punya badan, dan juga menteri pelancongan negeri dan persekutuan.
Alam ini sudah banyak musnah angkara manusia. Akan datang, mungkin kehidupan penyu hanya wujud melalui visual penulisan pencinta hidupan marin.
Kalau satu hari penyu pupus, tunjukkan gambar makan besar mereka ini. Kirimkan kesedaran melalui dosa-dosa perbuatan manusia. Masih belum terlambat untuk kita ambil langkah perbaiki keadaan.
AL RASHID ZULKEFLI pembaca Malaysiakini.
