Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada fenomena menghisap vape dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya remaja dan belia yang mencetuskan polemik dalam negara.

Pada bulan Ogos yang lalu, mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan vape sebagai haram. Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bertindak melakukan operasi merampas rokok elektronik dan vape bernikotin di sekitar Ibu Kota.

PKPIM melihat tindakan kedua-dua institusi ini sebagai wajar dalam usaha mengekang salahguna vape dan rokok elektronik pada masa hadapan.

Kami menyatakan sikap tegas menolak sebarang bentuk rokok elektronik ataupun vape sebagaimana pendirian kami menolak rokok biasa.

PKPIM konsisten dalam perjuangan kami menentang budaya merokok – sama ada rokok biasa, atau rokok elektronik. Kesemuanya akan mendatangkan mudarat kesihatan dan juga kebejatan budaya.

PKPIM juga ingin mengingatkan kerajaan supaya mengutamakan kepentingan kesihatan rakyat daripada menjaga kepentingan segelintir peniaga vape atau rokok elektronik.

Pihak kami sangat kecewa dengan sikap berlengah-lengah kerajaan dalam mengatasi masalah vape ini sedangkan puluhan tahun negara berusaha mengatasi masalah ketagihan rokok dan dadah di negara ini.

PKPIM juga memohon agar kajian menyeluruh mengenai kesan vape terhadap kesihatan manusia dijalankan dengan segera.

Kami yakin ini akan menjadi bukti penting bagi mengekang gejala vape di negara ini. Pihak kami juga menyarankan KKM melancarkan kempen "Tak Nak Vape" sebagaimana kempen "Tak Nak Rokok" yang pernah diusahakan sebelum ini.

PKPIM sedia membantu KKM dalam menggerakkan kempen ini sekiranya diperlukan.


MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Lihat Komen
ADS