Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menggesa kepada semua pihak agar tidak terlalu gopoh dalam memberikan maklum balas berkenaan persoalan yang cuba dilontarkan oleh kumpulan Melayu ternama, G25.

Janganlah kita gelar saudara seislam dengan gelaran yang kurang lunak.

Majoriti kumpulan G25 terdiri daripada bekas ahli profesional Melayu, antaranya bekas naib canselor Universiti Malaya, Tan Sri Rafeah Salim, bekas timbalan ketua setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Alwi Jantan, dan bekas timbalan setiausaha agung Asean, Datuk Ahmad Mokhtar Selat.

Kumpulan yang membawa agenda kesederhanaan ini sebelum ini mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Terbaru, mereka mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian dan menolak permusuhan dan pergaduhan. Al-Quran menegaskan tentang kaedah seruan memahami Islam dengan kaedah berhikmah.

Hikmahnya, perbincangan hendaklah dibuat secara harmoni tanpa sebarang unsur keganasan mahupun persengketaan.

Hal ini penting memandangkan Islam kini mula disalahertikan sebagai agama keganasan, peperangan, dan sebagainya yang tidak enak.

Sebagai anak muda, kita seharusnya perlu memulakan budaya diskusi sihat dan menghentikan budaya politik kotor yang seringkali berlaku.

PMIUM bersedia untuk berkunjung hormat berdiskusi bersama kumpulan melayu G25 bagi memahami kehendak mereka dan pada masa yang sama memberi penerangan konsep Islam yang sebenar.


MUHAMMAD WAFIUDDIN ROSLI presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Lihat Komen
ADS