Apakah boleh kerajaan memiliknegarakan Plus? Apakah boleh Plus diurus oleh syarikat kerajaan? Apakah boleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi pemegang saham utama Plus?
Semua persoalan di atas boleh dijawab dan jawapannya ialah 'Malaysia Boleh'. Tiada yang mustahil di Malaysia kalau kerajaan hendak - undang-undang dicipta oleh manusia.
Sekiranya kerajaan mementingkan kesejahteraan rakyat di samping terus menjaga kualiti perkhidmatan Plus, maka perkara di atas boleh dilaksanakan. Sedangkan Perlembagaan Negara boleh diubahsuai, inikan pula perjanjian konsesi di mana pemegang saham utamanya ialah dari pihak parti yang memerintah.
Adapun cadangan ini timbul berikutan kenyataan Menteri Kerja Raya yang mengatakan kerajaan terpaksa membayar lebih RM38 bilion kepada Plus sekiranya kadar tol tidak dinaikan dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Maka kalau begitu, adalah lebih baik kerajaan membeli semula Plus mengikut harga pasaran dan wangnya boleh didapati dari mana mana akaun wang amanah yang sememangnya mampu mengeluarkan sejumlah wang yang diperlukan.
Kita ada KWSP, Perkeso, Petronas dan yang lainnya yang sememang mampu mengeluarkan wang sejumlah itu. Bayangkan pulangan tetap dari pelaburan tersebut RM500 juta setahun, kali dengan 30 tahun, maka jumlah pulangan ialah RM15 bilion kepada KWSP dan keuntungan ini dapat dirasai oleh semua pencarum.
Keuntungan ini mampu dicapai kerana apabila Plus tiada lagi tanggungan bank, maka tiada faedah yang perlu dibayar. Oleh yang demikian, semua hasil kutipan tol - setelah ditolak kos pentadbiran dan penyenggaraan lebuhraya - adalah untung syarikat.
Saya yakin sekiranya Plus diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan, maka kadar tol tidak perlu dinaikan kerana kos operasi boleh di kawal. Beban sebenar Plus ialah ia terpaksa membayar faedah bank dan juga ansuran pinjaman yang saya kira amat berat untuk dilaksanakan.
Sehinggakan Plus terpaksa meminjam semula dengan tujuan untuk membayar ansuran pinjaman yang telah matang untuk mengelakkan penalti yang lebih tinggi.
Mungkin ada fakta-fakta yang dinyatakan di sini kurang tepat, tetapi sekiranya perkiraan kasar dilakukan, maka saya yakin dalam jangka masa panjang, perkara ini boleh dilakukan. Perlu diingatkan, kerajaan telah menubuhkan Syarikat Prasarana dengan tujuan untuk mengambilalih/membantu syarikat prasarana yang bermasalah.
Tetapi kini konsep itu telah menjadi lain.Wang kerajaan digunakan untuk menyelamat pemegang saham daripada muflis dan syarikat tersebut akhirnya menjadi milik pemegang saham yang lain pula, satelah ianya dirombak.
Yang untungnya ialah pemegang saham yang baru. Rakyat secara keseluruhan sama-sama menanggung kos penswastaan dan keuntungam sebenarnya dirasai oleh pemegang saham yang dulunya hampir muflis kerana dibantu dengan bersungguh-sungguh oleh Syarikat Prasarana agar mereka tidak rugi.
Sekarang, rakyat yang rugi kerana kadar tol akan tetap naik. Sama-sama kini renung kemungkinan ini.
