Most Read
Most Commented
Read more like this

Setelah ahli-ahli Parlimen puas bertekak di Dewan Rakyat atas nama rakyat untuk menolak kenaikan kadar tol Plus sebanyak 10 peratus mulai 1 Jan ini, namun ianya tidak berhasil apabila Menteri Kerja Raya S Samy Vellu terus menyebelahi syarikat konsesi untuk menaikkan kadar tol.

Dalam keadaan Plus yang terus menerus mengaut keuntungan yang besar berikutan pertambahan aliran kenderaan melebihi anggaran 7.5 kali (keuntungan syarikat itu juga meningkat 7.5 kali), maka ia tidak berhak lagi untuk menikmati kenaikan kadar tol pada tahun depan.

Pelbagai pihak sedang berusaha untuk bersatu tenaga di mana ahli Parlimen, parti politik, kesatuan sekerja, persatuan pengguna, persatuan pelajar dan badan bukan kerajaan, duduk semeja untuk berbincang mengenai langkah-langkah bagi menangani isu tersebut.

Ketua Pembangkang Parlimen Lim Kit Siang sudah berusaha untuk menubuhkan 'Jawatankuasa Membantah Kenaikan Kadar Tol'.

Penulis berharap di samping jawatankuasa ini menghantar memorandum kepada Plus , mengadakan perhimpunan aman secara besar-besaran di seluruh negara pada 26 Dis ini dan mengemukakan memorandum kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri di Putrajaya, mereka juga perlu menjalankan kempen tersusun agar para pemandu yang melalui semua jalan bertol, tidak membayar tol.

Sekiranya usaha ini mendapat sokongan meluas semua pemandu kenderaan, kita yakin kerajaan dan syarikat konsesi tersebut akan berfikir banyak kali selepas ini kerana mereka tentunya akan mengalami kerugian yang lebih besar apabila satu sen pun tidak masuk ke kantung tol mereka, dalam tempoh sebulan misalnya.

Demonstrasi aman juga perlu menuntut sekeras-kerasnya agar Samy Vellu segera undur dari jawatannya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS