Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Tabung mangsa tsunami terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Bantuan datang mencurah-curah sama ada wang ringgit mahupun material. Sikap prihatin dan dermawan rakyat Malaysia, terutamanya tokoh korporat, badan swasta dan NGO seharusnya di puji. Tidak sampai dua minggu tabung tersebut di lancarkan, kutipannya mencecah RM20 juta.

Bayangkan nilai yang mampu dikumpul sekiranya sebulan, dua bulan dan setahun ianya dilancarkan. Ini menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia cukup prihatin dan simpati dengan keperitan dan kesengsaraan insan lain.

Pada saya, sikap prihatin ini perlu diteruskan, bukan setakat apabila berlakunya bencana sahaja, malah diteruskan sepanjang masa seperti mengisi tabung perderitaan kanak-kanak berpenyakit, tabung bantuan keluarga miskin, tabung golongan kurang upaya, tabung pendidikan pelajar miskin dan sebagainya.

Menyoroti peristiwa yang telah lepas, ada segelintir ibubapa yang menagih simpati masyarakat supaya menghulurkan derma bagi mempercepatkan proses rawatan anak mereka yang mengidap penyakit bengkak hati. Ada yang menunggu berbulan-bulan untuk mengumpulkan sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin bagi membiayai kos pembedahan.

Apa yang mampu di soroti ialah kurangnya penglibatan pihak korporat untuk menyumbang apabila ada kes-kes tertentu yang memerlukan wang segera dari pihak yang prihatin terutamanya bagi mereka yang benar-benar memerlukan.

Amat menyedihkan apabila nyawa seorang insan kerdil tidak mampu diselamatkan berikutan tidak cukup wang untuk menampung kos pembedahannya. Amat terkilan apabila seorang pelajar pintar tidak mampu menyambung pelajaran akibat di landa kemiskinan.

Amat malang apabila terdapat segelintir anak kecil tidak ke sekolah apabila pendapatan si bapa hanya setakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sekiranya sikap prihatin rakyat Malaysia sentiasa segar dan mekar tanpa merujuk kepada sesuatu peristiwa tertentu seperti yang berlaku sekarang, sudah tentu lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan lebih banyak penderitaan dapat dileraikan. Sesetengah pihak korporat dan swasta kadangkala hanya menunggu seruan kerajaan sebelum menghulurkan bantuan.

Apabila kerajaan melancarkan sesuatu, barulah mereka beria-ria untuk sama-sama membantu dan menampakkan muka di dada akhbar serta media elektronik sebagai tanda prihatin. Amat kurang antara mereka yang begitu proaktif dan mengambil inisiatif sendiri dengan terjun membantu masyarakat yang memerlukan tanpa menunggu seruan dan rayuan kerajaan dan perdana menteri.

Hanya beberapa kerat badan swasta dan korporat sahaja yang benar-banar menjiwai penderitaan rakyat dan menghuluran bantuan tanpa mengira masa, tempat dan ketika. Sikap prihatin ini sepatutnya tidak bermusim. Ia perlu dipupuk di kalangan semua supaya di sudut hati setiap insan tersimpan rasa simpati dan ingin membantu, walaupun kemampuannnya terbatas.

Sekiranya semua rakyat Malaysia peka dengan permasalahan semasa seperti yang berlaku sekarang, adalah diharapkan penderitaan insan lain yang bakal dipaparkan pada masa hadapan terus mendapat bantuan pelbagai pihak, terutamanya tokoh korporat, badan swasta dan NGO.

Tugas mencari dana dan sumbangan tidak perlu dipikul oleh individu dan badan tertentu sahaja, tetapi ianya merupakan tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia yang prihatin. Penderitaan insan lain adalah penderitan kita juga sekiranya kita benar-benar memahami dan berada dalam situasi mereka.

Dengan itu, maka akan lahirlah satu generasi, satu masyarakat Malaysia yang saling bantu membantu tanpa mengenal fahaman agama mahupun bangsa.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS