Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam bajet 2016, sektor pendidikan tinggi awam antara yang terkesan dengan bahana buruk idea pemotongan subsidi sebanyak RM 1.4 bilion terhadap beberapa buah universiti awam.

Berita buruk ini menyajikan mimpi ngeri untuk mahasiswa dalam kelangsungan mencari nilai moral, etika dan ilmu di gedung universiti.

Namun, derita berlangsung tanpa belas ihsan.

Malaysia, khususnya kaum mahasiswa dikejutkan sekali lagi dengan penggantungan bantuan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam keadaan ekonomi yang tenat.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, malang datang tidak berbau. Dengan kos sara hidup yang tinggi, subsidi untuk universiti dipotong dan kini bala apa yang menimpa buat mahasiswa?

Isu ini walaupun masih belum diputuskan secara rasmi oleh pihak kerajaan, namun perkara ini dipanjangkan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri, Wee Ka Siong ketika ditanya.

Juga makluman daripada beberapa pihak, sambungan secara atas talian juga turut dipadam di laman web rasminya jpa.gov.my.

Dalam sesi Debat Mahasiswa yang menampilkan Mahasiswa MANTAP dan Mahasiswa PROGRESIF 27 November 2015 yang lalu, saudara Ammar Atan telah memberikan hujah kukuh kenapa kerajaan hari ini tidak bertanggungjawab.

Andai krisis ekonomi dijadikan hujah, bagaimana kerajaan boleh melaburkan sebanyak RM546 juta kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang digunakan untuk pembinaan kompleks kediaman yang kononnya untuk tujuan pertahanan negara.

Jika kekurangan dana dijadikan hujah asas, walhal sebelum ini keuntungan yang diperoleh dari hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimegah-megahkan.

Menurut sumber, kerajaan menganggarkan kutipan GST untuk tahun 2015 bermula daripada pelaksanaannya pada April lalu, berjumlah RM23.2 bilion.

Persoalannya, ke manakah ia disalurkan? Ke kantung rakyat atau ke kantung para perasuah?

Mengikut kajian OECD, pelaburan dalam pendidikan tinggi akan membawa pulangan tinggi kepada kerajaan.

Secara purata, setiap satu ringgit kerajaan melabur dalam pelajaran tinggi, kerajaan akan mendapat 6 ringgit dalam bentuk cukai.

Pelaburan dalam pendidikan tinggi juga akan mendapat mutiplier effect yang tinggi.

Pelaburan untuk pendidikan jelas menjadi pelaburan paling untung untuk jangka masa yang panjang.

Dalam isu ini, kerajaan wajar untuk mempertimbangkan untuk kali ketiga, selepas semakan balik (semakan kedua) bajet 2016 dilakukan kerana khuatir dan bimbang, kesilapan dalam melakukan penetapan keutamaan.

Pendidikan di universiti adalah sektor yang kritikal untuk memacu negara bagi mencapai status maju.

Kerajaan BN tidak haruslah memberi inisiatif satu jalur semata-mata hanya kerana gagal menangani masalah rasuah dan pembaziran dalam pengurusan bajet.

Menurut Dr Ali Shariati, intelektual tersohor Iran abad ke-20, golongan yang dikenali sebagai rausyanfikir (pemikir yang mencerahkan) menyatakan dengan tegasnya bahawa intelektual harus ke depan dengan berani untuk menentang ketempangan-ketempangan zamannya.

Menurutnya, "mereka harus mencari cita-cita bersama, menciptakan cinta dan iman yang bernyala dalam jantung masyarakat tradisional yang korup dan beku”.

Ayuh, mahasiswa Malaysia bulatkan tekad, kunyah ego bapak menteri yang rakus meragut hak kita!


MUHAMMAD WAFIUDDIN ROSLI presiden, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Lihat Komen
ADS