Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Secara umumnya, fungsi masjid di negara kita, sama ada di kampung, taman dan kota adalah sebagai tempat menunaikan solat secara berjemaah dan tempat rasmi bacaan yasin dan tahlil pada setiap malam Jumaat. Ini adalah bentuk ibadat dan sebahagiannya menjadi adat turun temurun masyarakat kita di masjid.

Di sepanjang kewujudannya, dari sudut kerohanian, masjid menjadi tempat sujud kepada semua ahli kariah sebagai tanda menjadi hamba yang patuh dan taat kepada Allah. Ini dinyatakan oleh Nabi sendiri dalam sebuah hadis riwayat Muslim:

“Saat-saat seseorang hamba paling dekat dengan Rabbnya adalah ketika dia sujud.”

Di masjid ini jugalah jugalah kuliah-kuliah agama disampaikan. Dahulu hanya ada kuliah maghrib dan kuliah subuh sahaja. Kini kuliah agama diadakan atas berbagai landasan dan tema.

Selain kuliah dhuha, dan ceramah khusus bersempena dengan hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul dan Maal Hijrah, jadual aktiviti masjid – dengan sokongan dana kariah – dipenuhkan dengan ceramah tokoh atau forum khas untuk mencelik dan mencerahkan minda ahli kariah mengenai isu-isu semasa yang menimpa umat.

Sebahagian daripada perubahan cara hidup dan kefahaman tentang Islam sebagai ad deen dalam kalangan masyarakat Islam tentunya berpunca daripada program-program masjid ini. Acara-acara ini telah berjaya mendekatkan lagi masyarakat dengan agamanya.

Tulisan ringkas ini bagaimanapun ingin melihat sisi-sisi lain yang boleh digerakkan untuk mengoptimumkan fungsi masjid sebagai pusat percambahan ilmu dalam erti kata yang lebih luas dalam masyarakat.

Pandangan ini didorong oleh kenyataan bahawa ruang masjid hanya digunakan untuk kegiatan rutin ceramah atau kuliah yang berlegar kepada ilmu dan isu sekitar akidah, fekah dan ruhiyyah yang semuanya berwajah agama. Kita mungkin tidak sedar atau perasan bahawa ilmu Islam yang luas telah tersekat dalam bingkai dan set minda orang masjid.

Ada pendapat yang kelihatan ‘kasar’ bunyinya mendakwa masjid juga menjadi sekular kerana menyempit dan membataskan makna agama yang asalnya luas, inklusif dan holistik.

Oleh itu agama dalam pengertian dan konteks ad deen wajar disampaikan dengan maknanya yang holistik dan mendalam agar keindahan dan keluasan makna Islam itu sampai kepada masyarakat.

Justeru tulisan ini mencadangkan agar ruang ceramah atau kuliah diberikan juga kepada para ilmuwan atau profesional dalam bidang bukan agama yang mempunyai fikrah dan jiwa Islam.

Golongan ini tentunya pakar dan mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman di lapangan yang boleh memberikan sudut pandang baharu atau kritis dan segar terhadap realiti dalam masyarakat mengikut bidang dan profesionalisme masing-masing.

Kesempatan antara waktu Maghrib-Isyak atau waktu lain yang lebih sesuai boleh dikongsi dengan pengisian yang bukan tema agama tetapi penting yang diperlukan masyarakat oleh mereka yang telah dinyatakan tadi. Fikrah dan jiwa Islam mereka tentunya akan membawa roh agama dalam perkongsian yang mereka berikan.

Pendekatan ini akan mewarnakan dan meluaskan lagi tema dan horizon pemikiran masyarakat setempat. Ini kerana golongan ini dapat membawa isu semasa di luar masjid dan mengupasnya lebih-lebih lagi dengan pendekatan yang lebih kritis dan segar.

Memang telah ada peluang ini diberikan kepada ilmuwan bukan dari disiplin agama tetapi kadarnya masih secara relatifnya agak kecil dan bersifat setempat. Mungkin di Bandar Baru Bangi yang berhampiran dengan UKM, atau bandar Johor Bahru yang ada kampus UTM dapat melakukannya.

Hal ini demikian kerana masyarakat di bandar ini juga menjadi kediaman para ilmuwan dan profesional berjiwa Islam. Justeru, pentas ceramah atau ruang utama kuliah di masjid boleh dikongsi sama oleh golongan tadi dengan lebih mudah dan perancangan yang lebih tersusun.

Guru-guru juga boleh meluaskan khalayak pelajarnya dari bilik darjah ke ruang utama masjid bersama para jemaah masjid. Mereka adalah golongan yang ahli dalam bidang akademik masing-masing yang berupaya memahamkan masyarakat isu-isu pendidikan nasional termasuk membawa realiti yang terjadi di sekolah ke pengetahuan ibu bapa yang menjadi ahli kariah masjid.

Pendekatan kreatif guru-guru berjiwa Islam ini barangkali mampu ‘ reaching out ’ ke khalayak yang lebih luas terutamanya golongan muda termasuk pelajar-pelajar sekolahnya sendiri.

Kesempatan ini boleh membawa isu pendidikan di sekolah langsung ke pengetahuan masyarakat melalui wasilah masjid tanpa perlu menunggu mesyuarat rasmi PIBG sekolah. Melalui kerjasama ini hubungan terjalin antara sekolah dan pihak masjid dan memudahkan penyebaran maklumat berkaitan pendidikan.

Inisiatif ‘menaik taraf’ fungsi masjid ini bukanlah suatu bidaah atau pun sebagai satu percubaan untuk merampas atau mengubah fungsi tradisi masjid. Ia sebenarnya adalah usaha untuk mengembalikan masjid kepada fungsinya yang sebenar terutamanya dalam persekitaran moden hari ini yang penuh fitnah dan kecelaruan fikrah dalam kalangan umat.

Menurut Profesor Yusuf al Qaradhawiy dalam bukunya bertajuk Masjid Parlimen Umat masjid mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada tempat menunaikan solat dan program kuliah ilmu. Masjid sebenarnya adalah parlimen umat.

Ulama tersohor ini menegaskan selain fungsi yang disenaraikan di atas, berdasarkan sirah Nabi masjid adalah tempat pertemuan dan mesyuarah antara nabi dan sahabatnya untuk mengatur rencanakan kehidupan sosial, politik dan ekonomi umat. Bahkan dalam mengatur strategi perang melawan musuh Islam pun masjid digunakan dan ia berubah menjadi pusat operasi perang.

Oleh itu, sewajarlah masjid menjadi milik umat bukan sahaja untuk beriktikaf, bersolat, bertaubat, memahami tauhid, fekah dan syariat, muamalat dan jinayat, serta tasawuf.

Namun ia juga boleh menjadi pusat percambahan ilmu Islam yang luas makna dan cakupannya. Ilmu Islam juga meliputi sains dan teknologi, matematik, biologi, fizik, kimia, sejarah, psikologi, geografi, perubatan, teknologi maklumat, pengurusan, perakauanan, pemasaran dan tentunya banyak lagi.

Majlis ilmu ini juga adalah majlis zikir dan fikir umat yang berkesan asalkan pemikiran masyarakat dipertajam dan diperhalusi melalui pendekatan penceramah yang menyajikan perbahasan ilmu secara kritis dan membina.

Fitnah dan berteraburnya mesej-mesej yang ‘tidak patuh syariah’ dalam media sosial yang kini ibarat wabak yang mudah berjangkit dan mempengaruhi pemikiran masyarakat boleh juga ditangani sebahagiannya melalui majlis ilmu ini.

Agenda dan risalah Nabi melalui masjid sebagai pusat perkembangan ilmu Islam yang holistik tidak akan dapat direalisasikan jika pihak berkuasa masjid terus selesa dengan kegiatan rutin mingguan, bulanan dan tahunan dalam bentuk dan format tradisinya.


BADRUL HISHAM ITHNIN pensyarah kanan, Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI PD.

Lihat Komen
ADS