Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Buat Tok Guru Nik Abdul Aziz yang dikasihi. Saya berhajat untuk membalas surat Warkah untuk Tok Guru Nik Aziz , tulisan Saudara Aqil Fithri, tetapi bukan mewakili pihak Tok Guru. Saya sekadar seorang ahli PAS dan penyokong setia parti, merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada surat yang saya maksudkan ini.

Buat saudara Fithri, inilah surat 'komen' saya terhadap hasil karya pihak anda itu. Anda menyatakan ada lima tokoh PAS yang semuanya anda kagumi. Mereka adalah Dr Burhanuddin al-Helmy, Dr Zulkifli Muhammad, Ustaz Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Anda menyatakan kelima-lima tokoh ini menyerlahkan lagi kegemilangan PAS.

Saya agak bersetuju dengan tulisan anda, tetapi tidak secara total. Kenyataan anda keluarkan hanya menimbulkan pelbagai pertanyaan dan kemusykilan. Ia tidak ubah seperti kebanyakan tulisan yang mengecam pucuk pimpinan PAS sekarang yang didakwa gagal memenangkan parti itu dalam pilihanraya umum lalu.

Di dalam PAS, tidak ada sesiapa yang boleh menolak peranan besar yang dimainkan oleh presiden parti kini. Bukanlah saya ingin mengagungkan beliau, atau mendakwa beliau tidak bersalah dan maksum, sebagaimana taksubnya pengikut setia Khomeni dengan keagungannya.

Namun kenyataan yang anda sebarkan ini, di banyak lamanweb (atau disebarkan pihak lain), semata-mata untuk memperlekehkan pucuk pimpinan kini. Seolah-olah ada agenda tersembunyi. Namun jangan sangka ia tidak disedari oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz. Zaman kegemilangan PAS bersama kepimpinan ulama bermula pada awal tahun 80-an. Antara lain, ia kesan daripada peranan bersama Abim dan PAS sebelum itu.

Penglibatan Ustaz Fadzil secara langsung dalam PAS bersama Ustaz Abdul Hadi selepas itu, dan seterusnya bagi membantu Ustaz Yusuf Rawa sehinggalah PAS lebih menonjol berbanding sebelumnya sebagai sebuah gerakan Islam yang lebih pro-aktif, dicatatkan dalam sejarah Malaysia. Ketika itu Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak dikenali ramai, kecuali aktivis PAS Pusat dan di Kelantan.

Selepas berlakunya gelombang kepimpinan ulama, antara keempat-empat tokoh PAS tersebut, Ustaz Abdul Hadi yang lebih menonjol, sehinggalah beliau mendapat gelaran Tok Guru. Siapa tidak kenal beliau ketika itu?

Ini tidak memperkecilkan Tok Guru Nik Abdul Aziz, malah fakta boleh mengesahkan bahawa beliau hanya dikenali ramai selepas menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990.

Presiden PAS kini pernah merantau bukan hanya ke seluruh Malaysia bersama Ustaz Fadzil dan tokoh PAS yang lain, malahan melebarkan sayapnya ke luar negara demi Islam termasuk ke Iran. Ucapan beraninya di hadapan ulama Syiah ketika itu, tidak disenangi oleh mereka, dan telah dipuji oleh ulama Sunni di sana.

Saya tidak boleh memaksa anda menyukai dan memuji presiden kini, kerana setiap orang mempunyai citarasa berbeza, tetapi memadam sejarah yang tercatat adalah satu kerja yang beragenda. Memang tidak boleh dinafikan kelebihan Tok Guru Nik Abdul Aziz. Tidak perlu saya huraikan semula. Ibarat untaian kata fiqh Islami, 'al-ma'lum biddharurah' bagi pengikut gerakan Islam dan penganalisis politik Malaysia.

Saya juga bersetuju pandangan anda yang menegaskan betapa perlunya muhasabah ke atas parti dan kepimpinannya. Kita boleh memuji pimpinan dan kita juga boleh menegur pimpinan, tetapi bukan menghina atau menjatuhkan mereka. Itu perkara yang amat berbeza. Adab kita dengan pimpinan perlu terikat dengan 'taatilah ulil amri daripada kalangan kamu' serta banyak lagi hadis Nabi lain yang tidak perlu diturunkan di sini.

Kita juga perlu pandai beradab dengan ulama sebagaimana yang diajar oleh agama Islam. Memang tidak dapat dinafikan ada sedikit kegusaran dalam perjalanan kerajaan negeri Kelantan. Namun ia langsung tiada kaitan dengan penentuan masa depan negeri itu. Ia telah berlalu dan apa yang akan dihadapi nanti, turut akan berlalu, jika kebijaksanaan wujud di kalangan pimpinan, khususnya barisan exco negeri. Penyelesaiannya ialah kerjasama dan tindakan pantas.

Anda agak laju membuat tuduhan, apabila mengaitkan isu tersebut dengan dua aliran yang berbeza. Saya pasti anda langsung tidak mengenali apakah itu Talibanisme dan Wahabisme dengan tepat. Inilah masalahnya penulis kita. Semua orang tahu apa yang telah berlaku di Kelantan adalah kerana masalah dunia dan kuasa. Ia langsung tiada kaitan dengan Talibanisme atau apa-apa 'isme' yang lainnya. Jika benar siapakah mereka?

Bagi saya dakwaan ini sekadar untuk melepaskan geram terhadap satu pihak tertentu dengan mengaitkannya kepada pergolakan di Kelantan. Apa bukti anda? Siapa Wahabi di Kelantan dalam kerajaan negeri? Juga Taliban? Atau mereka yang membawa dua aliran ini? Kenyataan sebegini hanya merugikan gerakan Islam keseluruhannya di mata pengkaji luar.

Ketika membaca tulisan anda ini 'Tanpa ada niat untuk berkempen buat mereka, karekteristik kepimpinan Husam Musa dan Nik Amar jauh lebih baik dari mereka yang berstatuskan ulama semata-mata, tetapi gagal mengurus pentadbiran secara cekap' saya merasakan seolah-olah satu sindiran sinis kepada Tok Guru sendiri.

Jika kita menerima dakwaan anda ini, ia membuktikan kelemahan yang berlaku, tiada kaitan dengan madrasah atau aliran, tetapi persoalan siapa cekap bekerja dan siapa tidak. Apabila anda membawa idea kepimpinan mutlak, maka jelas apa yang anda maksudkan. Sekali lagi anda cuba menyalahkan sesuatu fahaman dan ingin dibandingkan dengan kepimpinan mutlak di Iran yang memperkenalkan idea 'wilayah faqih' sebagai penghurai persoalan ketidak munculan Imam Mahdi.

Adalah amat malang jika kita mahu wujudkan semua pimpinan mempunyai satu pendapat dan ia dikuasai sepenuhnya oleh Tok Guru. Sekali lagi saya nyatakan ini gaya yang dibawa oleh Revolusi di Iran. Namun saya agak bersetuju dengan kenyataan anda, ada wakil rakyat yang bermasalah. Tetapi kita juga harus menyedari realiti sekeliling. Kadang-kadang seseorang itu diperlukan hanya untuk jumlah undi yang banyak, sekaligus mampu memberi sumbangan besar kepada kemenangan di peringkat negeri.

Ada juga yang dipilih itu kerana dialah yang terbaik di kawasannya. Jika mengambil calon luar, mungkin tidak disenangi pengundi. Walauapapun, saya percaya telah ada perubahan dalam persoalan pemilihan calon ini, walau tidak secara keseluruhan. Dan seterusnya, apa yang saya jangkakan, memang muncul juga, apabila anda mahukan Tok Guru berhenti sebagai Menteri Besar.

Saya hanya ingin memberi sedikit respon, selebihnya boleh diberikan oleh pimpinan di Kelantan sendiri. Itupun jika mereka merasakan tulisan anda ini satu cerita rakyat yang boleh diambilkira. Apabila anda menyatakan terdapat dua aliran, walaupun tiada bukti, apa rasionalnya Tok Guru perlu berhenti? Sedangkan kewujudan Tok Guru sendiri boleh menyatukan pelbagai aliran di dalam kerajaan negeri, jika benar dakwaan anda itu.

Bagaimana boleh membangunkan kerohanian rakyat, jika kita hanya berada di masjid dan surau? Apakah anda tidak menyedari jawatan MB itulah yang membawa Tok Guru ke mana sahaja untuk membangunkan kerohanian rakyatnya. Cuba bandingkan hal ini antara Tok Guru yang merupakan Menteri Besar dengan ramai tuan-Tok Guru pondok di Kelantan.

Fahaman anda ini agak bahaya, kerana cuba memisahkan antara bapa agamawan dengan pentadbir sesebuah kawasan. Memanglah Tok Guru tidak akan bersetuju jika ulama korup memimpin, persoalannya apakah Tok Guru korup, sehingga perlu ditukar? Perbandingan anda amat tidak relevan dan rasional. Saya tidak pula mahu menegaskan bahawa ulama mesti memerintah negeri, tetapi anda salah menggunakan hujah ini pada tempat yang betul.

Realiti di Kelantan amat berbeza dengan apa yang wujud di Selangor. Carilah hujah yang relevan. Saya merasakan anda mempunyai fahaman agak keras terhadap kepimpinan ulama. Anda cuba ingin merungkai permasalah takrif kepimpinan ulama, tetapi kenapa senapang dihalakan kepada Tok Guru? Apa salah Tok Guru?

Bukankah Nik Amar seorang ulama? Jika anda mahukan beliau, kenapa pula bangkitkan isu kepimpinan ulama? Persoalannya ialah ulama yang tidak cekap perlu digantikan dengan ulama yang cekap mentadbir. Bukankah manis begitu?

Kita perlu tahu maslahah yang terbaik dalam membuat keputusan. Memang mungkin Tok Guru kurang arif dalam persoalan pentadbiran. Tetapi bukan itu sahaja ukurannya. Politik di Malaysia tidak seperti apa yang berlaku di Iran.

Oleh itu Tok Guru, jangan layan surat sebegitu kerana alasan yang diberikan amat tidak relevan untuk Tok Guru melepaskan jawatan. Tok Guru sendiri tahu bila akan melepaskannya. Kami di Kuala Lumpur sentiasa mendoakan kesihatan Tok Guru dan kejayaan pentadbiran kerajaan negeri di Kelantan sana. Wassalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS