Gerakan Media Marah (GERAMM), bersama-sama Institute of Journalists (IoJ), akan melancarkan kempen "Solidariti Media Untuk Media" pada pukul 9 malam esok (Rabu 30 Mac), susulan perkembangan suram yang melanda landskap media negara.
Kempen ini mempunyai dua objektif utama. Pertama, untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa media bebas tidak akan wujud di Malaysia tanpa sokongan mereka.
Kedua, untuk mengemblengkan usaha petugas media untuk bersatu mempertahankan bidang kerja kewartawanan yang kini sedang dibelenggu.
Kempen ini akan berlangsung selama dua hari di media sosial. Penganjur bersama rakan-rakan dan penyokong akan menyebarkan mesej-mesej berkaitan di Twitter GERAMM @MediaGERAMM dan Facebook IoJ di https://www.facebook.com/InstituteOfJournalistsMalaysia/.
Satu 'interactive timeline' akan dikongsi melalui sebuah pautan, merangkumi sejarah ringkas insiden-insiden tekanan terhadap media di Malaysia bermula dari tahun 1961 sehingga kini.
Orang ramai diminta menyebarkan kembali pautan berkenaan dengan mesej bahawa "Media bebas bukan percuma" dan "Kebebasan media ada harganya".
Selain itu GERAMM, IoJ dan juga Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) akan bersama-sama melancarkan sebuah laman Repositori Kerja Media pada 1 April nanti.
Laman terbabit yang akan disediakan oleh FCCM di alamat web mereka http://fccm.my/. Ia akan menyenaraikan peluang pekerjaan dalam bidang media, sebagai portal bagi membantu petugas media yang diberhentikan kerja mencari peluang baru.
Ini adalah kali kedua GERAMM melancarkan kempen "Solidariti Media Untuk Media", kali pertama ialah pada bulan Mac tahun lepas bagi memperjuangkan nasib petugas Bernama TV dan RTM yang tidak dibayar gaji.
Kempen kali didorong oleh penutupan dua portal berita batu-baru ini, iaitu The Malaysian Insider (TMI) dan The Rakyat Post , yang menyertai beberapa organisasi media lain yang menjadi mangsa penyusunan semula korporat ataupun tekanan kewangan.
Malahan bagi pihak TMI, mereka juga telah dihujani kekangan pihak berwajib.
Oleh itu, kempen ini turut dilancarkan dengan harapan untuk menguar-uarkan rasa tidak senang petugas dan organisasi media dengan rancangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memastikan semua portal berita dan blog didaftarkan dengan kerajaan, dibawah cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Rancangan kementerian untuk membuat pindaan bagi tujuan itu dilihat seakan-akan percubaan pihak berwajib untuk melebarkan kekangan undang-undang sedia ada pada media cetak dan elektronik kepada media atas talian.
Penganjur berharap dengan kempen ini, kementerian akan sedar bahawa langkah terbabit tidak disenangi dan moga rancangan itu dimansuhkan. Pihak berwajib perlu bertemu dan duduk semeja berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan.
Matlamat utama kempen ini untuk mengetengahkan keperluan bagi menolak campur tangan pihak berkuasa dalam media dan pentingnya industri media menetapkan hala tuju dan peraturan kendiri.
Ini memerlukan semua wartawan dan petugas media bersama-sama dan berpegang teguh kepada solidariti untuk menjalankan tugas masing-masing secara berwibawa dan profesional mengikut etika, demi kepentingan rakyat.
GERAKAN MEDIA MARAH (GERAMM) adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.
