Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Kes-kes mahkamah, khususnya Mahkamah Syariah sering menjadi perhatian umum, terutama kes khalwat, kesalahan menggalakkan maksiat, bersekedudukan dan sebagainya, hinggakan akhbar-akhbar laris dijual kerana berita-berita sensasi seperti ini.

Semakin banyak berita ini disiarkan, semakin ianya menarik minat pembaca. Tetapi apakah ianya benar-benar mencapai matlamatnya untuk mendidik masyarakat Islam agar menjadi masyarakat yang beriman dan bertamaddun.

Senario yang dipaparkan hari demi hari ini umpama kucing yang mengejar tikus, yang tiada kesudahannya. Yang seronok ialah mereka yang menjadi penonton dan pembaca. Mengapa tindakan demi tindakan yang dilakukan para penguatkuasa agama ini tidak dapat menurunkan kadar kesalahan jenayah syariah?

Ianya mudah difahami jika kita bandingkan hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah sivil dan penjenayah syariah.

Seorang wanita yang bekerja di tempat yang tidak bermoral dan melayani lelaki yang bukan suaminya dalam keadaan yang mengghairahkan, jika tertangkap dan didapati bersalah oleh mahkamah syariah, boleh dikenakan hukuman berikut contohnya (petikan dari keratan akhbar) :

"Mereka didakwa mengikut Seksyen 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan menggalakkan maksiat dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali" .

Akan tetapi majikan tempat mereka bekerja akan terlepas dari sebarang tuduhan kerana menggaji seorang wanita Islam di tempat mereka. Bukan hanya majikan yang terlepas, malah pelanggan yang bukan Islam juga tidak akan dikenakan sebarang pertuduhan.

Oleh yang demikian, selepas ini, majikan tersebut boleh menggaji semula pekerja Islam yang sama atau pekerja Islam yang lain. Maka berterusanlah pihak penguatkuasa agama menangkap pesalah syariah kerana sumber dari mana datangnya mereka ini, tidak dikawal.

Berlainan pula pada apa yang terdapat dalam Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan memasuki negara ini secara tidak sah, menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin.

Pendatang tanpa izin, majikan, tuan punya premis, semuanya akan didenda jika didapati bersalah. Majikan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk setiap pendatang tanpa izin yang bekerja dengannya.

Sekiranya hukuman yang serupa dikenakan untuk penjenayah syariah, sudah pasti selepas ini, majikan kelab hiburan akan mengambil wanita bukan Islam sebagai pelayan dan hanya membenarkan pengunjung bukan Islam sahaja memasuki premis mereka. Islam bukannya menjadi penghalang orang yang bukan beragama Islam untuk berhibur.

Maka, sebagai sebuah negara Islam contoh, ianya dapat dibuktikan sekiranya perundangan sedia ada diteliti semula dan dibuat perubahan mengikut kesesuaian semasa. Jika tidak, peristiwa kejar-mengejar antara pegawai penguatkuasa agama dan penjenayah syariah, akan menjadi bahan pelaris berita. Sepertimana kita seronok melihat kartun 'Tom and Jerry'.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS