Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Melahirkan manusia baharu dalam negara ini adalah suatu paradoks. Kenapa? Dalam kita menternak manusia kritis, kita (baca: kerajaan) bersikap sangat tabu terhadap kritikan.

Lihat saja Syed Saddiq dan rakan-rakan intelektual baharunya yang berdiri melawan kerajaan.

'Dogmatik' dan 'kritikal' kini mempunyai maksud berlawanan. 'Autoritarian' dan 'berdaulat' pula tidak semestinya seerti. Kerana itu, langkah paling selamat sebuah kerajaan korup mengekalkan takhtanya adalah dengan menggagalkan KBAT.

Kalau KBAT berjaya, kerajaan bakal berhadapan dengan makkal sakhti (kuasa rakyat) yang lebih ramai.

Kalau kalian percaya KBAT itu hanya menyentuh hal akademik, atau paling jauh intelek, maka kalian mentalkinkan pesanan berharga Bennabi; bahawa pendidikan adalah pembudayaan.

Makna kata, pendidikan yang ingin mengangkat KBAT namun memisahkannya daripada budaya seperti menternak katak di Gurun Sahara.

Bila kita mahu melahirkan manusia baharu, kita mahu mereka campur tangan dalam isu-isu sosial (paling tidak, bersikap luhur pada peringkat peribadi).

Kita mahu mereka berupaya dan mempunyai keinginan mencipta sejarah. Dan sejarah, dirunut dari aspek dialektik, tidak boleh tidak hanya terhasil dari kekritisan manusia baharu.

Krisis antara polisi kerajaan (bukan polisi rakyat) bukan perkara baharu. Seramai 667 orang graduan IPG dari Sabah masih menanti penempatan, bahkan apabila diminta penjelasan, pihak atasan malah membentak.

Padahal, anjakan ke-4 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan hasratnya mahu menjadikan profesion tertua ini sebagai profesion pilihan.

Kesatuan -- idealisme dari perkataan 'integriti' -- antara antikorupsi, antipenyelewengan dan keamanahan dengan pendidikan mustahil tertalak.

Melainkan, pendidikan yang diusahakan bersifat nominal (superficial) sahaja, yang mengkehendaki manusia produktif, namun tidak ambil kisah isu-isu integriti negara.

Pemisahan agama daripada pentadbiran negara (yang dikenal sebagai sekularisme) lebih ringan kesan negatifnya berbanding pemisahan akal dan integriti daripada aspek sosiopolitik negara (yang dinamakan sebagai pembodohan), kerana sekularisme sekurang-kurangnya masih berpijak pada integriti.

Lihat Komen
ADS