Saya amat tertarik dengan tulisan Wan Jo yang bertajuk Tahun penentuan jawatan tinggi PAS .
Saya boleh bersetuju dengan pendapat kebanyakan PAS Kawasan di Kelantan yang akan mencalonkan Exco kanan Kerajaan Kelantan, Haji Husam Musa dan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai naib presiden PAS.
Di sini saya ingin menambah bahawa Haji Mohammad Sabu juga layak untuk diangkat sebagai naib presiden PAS. Ini kerana pemikiran dan gaya kepimpinan Haji Mohammad juga setanding dengan Haji Husam dan Ustaz Nasharudin untuk mengangkat martabat PAS menjadi sebuah parti politik yang disokong oleh majoriti rakyat Malaysia.
Haji Mohammad juga telah melepasi ujian kesusahan dan kesenangan dalam kancah perjuangan Islam ini. Beliau telah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di samping dikenakan tahanan dalam daerah di Kuala Pilah. Walaupun begitu, beliau tetap istiqamah dalam perjuangan Islam.
Pemikiran politik Haji Mohammad juga bersifat global, yang bukan sekadar menangani politik Malaysia, bahkan melangkaui batas sempadan negara bangsa yang menjadi ciptaan bekas penjajah demi memecahbelahkan kesatuan umat Islam.
Beliau konsisten dalam menyuarakan kebangkitan Islam di seluruh pelusuk dunia, termasuk isu penjajahan regim haram Israel ke atas negara Palestin yang merupakan milik mutlak umat Islam.
Di samping menjadi 'daya penarik' dalam ceramah-ceramah PAS, Haji Mohammad boleh dikatakan berjaya menarik minat orang Umno dan orang atas pagar untuk mendengar ceramahnya dan seterusnya terbuka hati untuk bersama-sama dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
Saya sendiri adalah bekas ahli Umno yang telah menyertai PAS sejak tahun 1993 hasil daripada menghadiri ceramah-ceramah beliau di tempat saya. Satu perkara yang amat mengagumkan saya ialah Haji Mohammad telah bertanding di Kedah pada tahun 1999.
Beliau bertanding di negeri itu kerana tekanan daripada sebilangan pemimpin PAS di Kelantan yang tidak senang lagi melihat kelibat beliau di Kelantan, disebabkan faktor beliau konsisten menegur pimpinan yang hidup mewah dan sebagainya.
Pemimpin utama PAS mestilah seorang yang kuat membaca kerana melalui pembacaan yang tinggi, seseorang itu akan mempunyai idea-idea yang mantap untuk diketengahkan demi memajukan parti dan seterusnya dapat menghasilkan pelan bertindak yang mantap.
Haji Mohammad dan Haji Husam merupakan orang yang kuat membaca. Bagaimanapun, saya tidak mengetahui adakah Ustaz Nasharudin juga adalah orang yang kuat membaca, tetapi saya berpandangan beliau pun sama juga kerana latarbelakang akademik beliau sehingga ke peringkat sarjana.
Akhirnya, saya mendoakan semoga Haji Mohammad dan Haji Husam serta Ustaz Nasharudin mendapat sokongan terbanyak daripada perwakilan untuk dipilih sebagai naib presiden PAS sewaktu muktamar parti itu di PUTIK Kelantan bulan Jun ini.
Saya yakin, gandingan mereka bertiga ini dapat membantu Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dr Haron Din untuk mengolah satu pelan strategik yang dinamik dan realistik, tanpa menggadaikan prinsip Islam dalam jangka masa tiga tahun menjelang pilihanraya umum akan datang, demi menjadikan PAS parti dominan yang dapat menguasai Malaysia bersama gabungan parti alternatif yang lain.
