Saya merujuk kepada berita UTM students ordered to reside on campus from July .
Izinkan saya meberikan kronoloji lanjut peristiwa melibatkan penginapan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UTM) yang kini telah menjadi satu krisis yang telah mencabuli hak mahasiswa.
Sesi 2001/2002 semester 2: Pembinaan blok baru di KTF, KTHO, KTR, KP, K9, K10, K11, K12, K13, K14, K15, K16 dan K17 hampir siap dan Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (HEP) mula mengambilalih kuasa pentadbiran blok-blok tersebut daripada pejabat pembangunan UTM.
Sesi 2002/2003 semester 1: Pada pertengahan Jun, HEP telah mencadangkan supaya semua pelajar UTM diwajibkan tinggal dalam asrama demi mengelakkan isu masalah keselamatan selain menyatakan bahawa asrama baru adalah lebih selesa diduduki.
Setelah perbincangan selama beberapa minggu, HEP setuju bahawa hanya pelajar yang baru mendaftar sahaja yang diwajibkan tinggal dalam asrama manakala pelajar yang telahpun tinggal di luar kampus, diberi kebebasan untuk memilih sama ada terus tinggal di luar kampus atau berpindah ke asrama yang disediakan oleh UTM.
Sesi 2003/2004 semester 1: HEP menguatkuasakan sepenuhnya peraturan 'pelajar baru diwajibkan tinggal dalam asrama setiap semester'. Oleh itu, semua pelajar kemasukan mulai sesi 2003/2004 adalah diwajibkan tinggal dalam asrama tersebut.
Sesi 2004/2005 semester 1: Lebih kurang 150 pelajar diploma yang dinaikkan taraf ke status sarjana muda daripada Fakulti Alam Bina, diwajibkan tinggal dalam asrama kerana mereka dianggap sebagai pelajar baru, sedangkan kebanyakannya telahpun tinggal di luar kampus untuk tempoh yang agak lama.
Kerana terdesak, semua pelajar telah bersama-sama menghantar surat rayuan kepada HEP pada 27 November 2004 supaya dikecualikan daripada peraturan tersebut. Malangnya rayuan mereka telah ditolak pada 10 Disember 2004.
Sesi 2004/2005 semester 2: Pekeliling yang ke-3 telah dikeluarkan oleh pihak HEP pada 21 Februari 2005 menyatakan sewa asrama UTM akan dinaikkan bagi menampung kos pengendalian asrama yang semakin tinggi. Selain itu, semua pelajar adalah diwajibkan tinggal dalam asrama yang telah disediakan. Sekiranya mereka tidak mendaftar mengikut prosidur, secara automatik, pihak Universiti akan menempatkan mereka di asrama lingkaran luar dan dikenakan sewa yang sewajarnya.
Pekeliling tersebut telah mencabuli hak mahasiswa untuk memilih sama ada tinggal di luar atau di dalam kampus. Selain itu, pelajar tahun ke-3 dan ke-4 yang telah tinggal di luar selama beberapa tahun juga diwajibkan berpindah balik ke dalam asrama. Kenaikan kadar sewa asrama juga tidak sepadan dengan kemudahan yang sedia ada.
