Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kemasukan ke institusi pengajian tinggi mengikut sistem meritokrasi ataupun keutamaan pencapaian intelek dan fizikal seseorang itu, akan memastikan persaingan yang sihat di kalangan pelajar yang berkaliber.

Sebaliknya jika kemasukan ini berdasarkan kepada sistem kuota semata-mata, ianya akan menjadikan sesetengah pihak yang mendapat kuota yang lebih, akan merasa kurang dayasaing mereka.

Walau bagaimanapun hendaklah dipastikan melalui sistem meritokrasi ini, tiada pelajar yang keciciran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi mengikut kemampuan masing-masing.

Institusi pengajian tinggi telah mula mengamalkan sistem meritokrasi ini, tetapi berlainan pula halnya dengan sekolah menengah kebangsaan. Diberitakan pelajar di sekolah rendah swasta mempunyai syarat dan kuota yang begitu terhad untuk kemasukan ke sekolah menengah kebangsaan yang berprestij, iaitu sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah kebangsaan agama.

Kuota dan sekatan yang dikenakan ini adalah kepada semua pelajar sekolah rendah swasta, sama ada mereka berbangsa Melayu, Cina atau India serta beragama Islam, Buddha atau Hindu. Adalah diberitakan, pelajar sekolah rendah swasta yang mendapat keputusan cemerlang dalam keputusan UPSR tidak layak untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh.

Begitu juga untuk kemasukan ke sekolah menengah kebangsaan agama di peringkat negeri yang berprestij, di mana secara jelas dinyatakan di dalam borang permohonan, iaitu pelajar sekolah rendah swasta hendaklah mendapat keputusan sekurang-kurangnya 5A dalam UPSR dan pelajar sekolah rendah kebangsaan sekurang-kurangnya 4A dan 1B dalam UPSR dua piawaian yang berbeza.

Dengan ini, dari bangku sekolah rendah lagi pelajar ini telah mengenal erti diskriminasi dalam sistem pendidikan dan pelajaran kita. Ini kerana kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah kebangsaan agama yang berprestij, tidak mengamalkan sistem meritokrasi untuk semua rakyat Malaysia.

Sesetengah pelajar sekolah rendah swasta ini, yang mendapat keputusan yang cemerlang, mempunyai beberapa kebolehan tersendiri. Sekiranya sistem meritokrasi diamalkan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah kebangsaan agama yang berprestij, sudah pasti ianya akan lebih mendatangkan dayasaing antara para pelajar berkenaan.

Ada juga yang mencadangkan kalau ada di antara mereka daripada sekolah rendah swasta ingin memasukki sekolah berasrama penuh, mereka hendaklah mengeluarkan anak mereka dari sekolah rendah swasta selepas Tahun 5 dan memasukkan mereka ke sekolah rendah kebangsaan pada Tahun 6.

Mungkin ini dapat menyelesaikan satu masalah, tetapi yang pasti ianya bukanlah penyelesaian pada punca masalah tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS