Paling Popular
Terkini

14 Mei 2016, jam 4 petang aku bergerak dari Bukit Katil menuju ke Simpang Ampat bagi mendapatkan seorang sahabat yang akan bersama-sama bermusafir ke sebuah lokasi yang kami tuju terletak di Bangsar Utama.

Perjalanan kami mengambil masa kurang lebih 2 jam sarat dengan perbincangan pasca pilihan raya di Sarawak yang kami adalah antara wataknya.

Asas kami bergerak ke Bangsar pada hari ini adalah untuk sama-sama bersolidariti dengan satu sosok tubuh yang bakal disumbat ke dalam penjara di bawah pertuduhan menghasut. Beliau memang punya aura dan sinergi sebagai seorang penghasut yang berkualiti.

Universiti Bangsar Utama (UBU) menjadi sudut untuk mereka yang mahu beraspirasi menumbangkan kebejatan kerajaan pada hari ini.

Memahami apa yang tidak bertebaran di dalam fikrah politik kepartian adalah antara subjek teras bakal banduan ini turun ke mana-mana forum dan pentas diskusi.

Berfikir di luar kotak

Saya bukanlah salah seorang pelajar di kampus induknya di Jalan Kemuja itu. Mungkin juga saya bisa digelar Pelajar Jarak Jauh (PJJ) universiti anak muda yang tua itu.

Meniliti dan memahami alir fikirnya selalu membantu saya berfikir di luar kotak dan meraikan diri saya sebagai manusia dan bukan robot. Apa yang beliau kata itulah juga yang agama sebut, tinggal lagi dia tidak memakai jubah dan berserban. Namun bagi saya dia tetap ustaz.

Perjumpaan kami bermula dari jam 8.45 malam hingga tayar mobil saya bergolek pulang disulami titisan hujan yang mendinginkan malam tersebut.

Ucapan demi ucapan oleh sahabat penghasut itu terus menghangatkan suasana malam tersebut. Tidak perlu juta-juta atau ribu-ribu, semuanya inisiatif anak didiknya. Sate dan patin tempoyak terus ditambah tiap kali berkurangan.

Berdoa agar terus berjuang

Antara teman yang hadir seperti Dr Syed Husin Ali, Pak Abu (Saari Sungib), Azmi Shahrom, Adam Adli, Mandeep Singh, Tian Chua, Latheefa Koya, Ronnie Liu, Faiz Fadzil dan Bang Mat Sabu.

Ada antara mereka pernah senasib dengan penghasut demonstrasi jalanan ketika berada di bawah tahanan ISA suatu ketika dahulu. Mereka rata-ratanya "gembira" bila mendapat tahu yang beliau akan dipenjara.

Di akhir program, beliau sendiri memberi ucapan. Kata beliau dia tidak gentar untuk dipenjarakan kerana adanya teman yang ramai bersama beliau. 9 bulan itu suatu masa yang singkat kata beberapa temannya. Dia juga punya pengalaman yang luas menginap di beberapa penjara di luar negara.

Sepanjang program berlangsung dia ke sana ke mari menyapa mereka yang hadir untuk memberi semangat kepada dirinya. Walau apa pun yang menimpa beliau perlu sedar dan yakin kami anak didiknya sama secara langsung akan bersamanya. Saya doakan agar beliau terus berjuang dan kuat. Semangat dan roh perjuangannya akan disambung oleh semua anak-anaknya.

Penghasut, bakal banduan dan ustaz yang saya maksudkan ialah Hishamuddin Rais.

Moga pemenjaraan beliau membangkitkan anak muda lain yang sedang lena diulit mimpi. Jika 16 Mei 2016 (keputusan mahkamah rayuan) tidak berpihak pada Pak Isham Rais, beliau perlu ingat bukan beliau seorang sahaja penghasut hari ini, tetapi KITA SEMUA PENGHASUT.

Lihat Komen
ADS