Surat Malaysiakini

Ijtihad dan ustaz jutawan

Muhammad Syafiq Azmi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Hari ini sering terdengar soal ijtihad. Baik dari segi agama atau politiknya. Dulu semua kata dialah yang benar.

Terlebih lagi bila yang menyampai sesuatu perkara itu punya imej orang agama.

Namun hari ini walau orang sudah mula bijak untuk berijtihad itu dan ini, masih ada lagi yang melacurkan agama.

Bilangannya bukan makin sedikit malah bertambah-tambah.

Golongan seperti inilah yang selalu "mensunnahkan" perkara yang menguntungkan mereka.

Ada yang jadikan al-Quran untuk kemewahan sendiri.

Surah dan tafsir yang dibaca harganya ribuan ringgit untuk beberapa jam.

Yang penting bila dia mula ada nama dan gelaran nombor akaun akan menyusul, maklumlah nak di isi dalam sampul takut tiada untuk disusun.

Kesian ustaz-ustaz kecil di kampung yang tidak punya peluang yang luas.

Tiba-tiba wujud kasta pula dalam bab nak beri kuliah.

Inilah keajaiban kelapan dunia.

Semakin umat bertambah maju dengan teknologi, masih ada golongan bangsawan agama yang terus memperdaya mereka yang tidak berijtihad.

Maka di sinilah letaknya asas mengapa agama itu boleh diasak dan ditanya.

Tulisan ini khas untuk mereka yang meraikan perbezaan pandangan.

Bukan untuk dijadikan satu dogma, tetapi lebih kepada menjadi serat dalam otak agar kata-kata dan buah fikir yang ditutur nanti tidak sembelit pemahamannya.