Saya kurang bersetuju dengan pandangan Awang (Doktor Dalam Keluarga India, Mingguan Malaysia 13 Februari). Pendapat Awang seolah-olah suatu utopia jika dibandingkan dengan realiti permasalahan masyarakat India.
Meskipun mereka merupakan kumpulan etnik ketiga terpenting selepas masyarakat Melayu dan Cina, namun 30 peratus atau 480,000 daripada 1.6 juta anggota masyarakat India tergolong dalam kumpulan rakyat miskin. Sebanyak 65 peratus terdiri daripada masyarakat kelas pertengahan dan hanya lima peratus rakyat Malaysia daripada kaum India yang kaya.
Ananda Krishnan dan Tony Fernandez merupakan dua personaliti kaum India terkaya pada masa kini. Fakta ini tidak dapat dinafikan, namun mereka hanya golongan minoriti rakyat Malaysia berketurunan India.
Dalam artikelnya, Awang menulis seperti berikut: 'Menjadi doktor perubatan adalah idaman setiap keluarga India. Bagi mereka setidak-tidaknya seorang anggota keluarga mesti menjadi doktor.
'Jika tidak dapat menjadi doktor, setidak-tidaknya berjaya menjadi peguam atau jurutera. Inilah idaman keluarga keturunan India hari ini. Keluarga keturunan India dikatakan akan rasa malu andainya dalam keluarga mereka tidak ada yang menjadi doktor, peguam atau jurutera'
Keluarga mana yang tidak akan gembira sekiranya anak-anak mereka berkecimpung dalam kerjaya-kerjaya yang telah dinyatakan di atas. Faktor-faktor persekitaran harus dikaji sebelum impian sebegini menjadi kenyataan.
Beberapa tahun yang lalu, hanya seorang pelajar berketurunan India mendapat tawaran untuk mengikuti jurusan perubatan di Universiti Malaya. Setiap tahun, hanya tiga pelajar berketurunan India dibenarkan mengikuti jurusan farmasi di universiti yang saya sebutkan ini.
Pengisytiharan 2005 sebagai Tahun Pendidikan oleh Datuk S Samy Vellu sempena pelancaran Institut Perubatan, Sains, dan Teknologi (AIMST) merupakan satu wayang kulit yang mengaburi isu pendidikan rakyat Malaysia berketurunan India.
Bagaimanakah setiap keluarga India boleh mempunyai seorang doktor, peguam atau jurutera sekiranya permasalahan sosial mereka tidak dapat diselesaikan oleh parti-parti politik yang mewakili kumpulan masyarakat ini?
Satu tinjauan yang penulis buat pada sekitar tahun 2000-2001 di Universiti Malaya mendapati lebih daripada 75 peratus guru sekolah yang datang ke menara gading untuk mendapatkan segulung ijazah, tidak mengiktiraf kepimpinan politik Datuk S Samy Vellu.
Saya akui bahawa Institut Pembangunan Pendidikan Maju (Mied) telah memainkan peranan dalam menghasilkan 378 calon UPSR mendapat 7A, namun fokus harus ditumpukan kepada pembangunan pendidikan menengah. Kebanyakan pelajar keturunan India berhenti sekolah setelah memasuki sekolah menengah.
Satu lagi faktor yang harus diberi perhatian adalah perpecahan politik. Perpecahan politik adalah jelas dengan kewujudan tiga parti politik wewakili masyarakat Malaysia iaitu MIC, IPF dan PPP. Dengan adanya tiga parti ini, usaha yang dibuat demi pembangunan pendidikan dan yang bukan politik, juga terjejas.
Seterusnya, pembangunan institusi pendidikan seperti Kolej Manipal dan AIMST juga harus dikaji semula. Adakah semua keluarga masyarakat India mampu untuk menghantar anak mereka ke AIMST atau Kolej Manipal?
Jawapannya adalah jelas - sama sekali tidak. Ini kerana pembangunan sosioekonomi yang sepatutnya diterima mereka terbantut kerana tiada ketelusan.
