Most Read
Most Commented
Read more like this

Tanggal 16 Feb 2005 lalu, termeterailah perjanjian penswastaan air Negeri Sembilan untuk tempoh konsesi selama 30 tahun sehingga tahun 2034 di mana Sarawak Concrete Industries Berhad melalui anak syarikatnya Eurologic Sdn Bhd, telah mendapt konsesi tersebut melalui pegangan 65 peratusnya di dalam NS Water Konsortium Sdn Bhd.

Dengan termeterainya perjanjian ini, maka kadar tarif air sekarang iaitu RM0.55 sen untuk setiap meter padu air, akan dinaikkan pada RM1.25 untuk setiap meter padu air secara purata.

Kemudian akan dinaikkan lagi setiap lima tahun sekali sebanyak 20 peratus sehingga tahun 2026 dan akhir sekali akan dinaikkan pada kadar 10 peratus setiap lima tahun sehingga ke tahun 2034.

Sebagai contohnya, jika satu isi rumah sekarang ini menggunakan 25 meter padu air sebulan maka bil air mereka pada bulan tersebut ialah RM13.75. Maka apabila kadar RM1.25 untuk setiap meter padu air dikenakan kelak, maka isi rumah yang menggunakan 25 meter padu akan akan membayar sebanyak RM31.25 meningkat 100 peratus.

Bagaimanakah kita harus menjadi pengguna yang berhemah dan berjimat cermat selepas ini dengan kadar tarif air yang akan dinaikkan ini, kadar tarif elektrik yang akan dinaikkan, harga petrol yang semakin meningkat, ditambah pula dengan kadar tol yang tidak pernah turunnya? Semuanya ini akan mengakibatkan 'kesan berangkai' ke atas harga barangan asas pengguna.

Malah kadar tarif air di Negeri Sembilan pada ketika ini adalah keempat tertinggi di Malaysia selepas Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur. Sedangkan Pulau Pinang yang jauh lebih maju dengan kawasan tadahan air yang terhad, mempunyai kadar air yang terendah di Malaysia iaitu RM0.22 sen setiap meter padu.

Bukan itu sahaja, jiran Negeri Sembilan, iaitu Melaka, yang banyak membeli air dari Negeri Sembilan, mempunyai kadar tarif air yang lebih rendah, iaitu RM0.44 sen untuk setiap meter padu air.

Maka tidak hairanlah mengapa kebelakangan ini Negeri Sembilan kurang menerima pelaburan asing dalam pelbagai industri, termasuk industri pembuatan jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dan Melaka, walaupun Negeri Sembilan berjiran dengan Selangor.

Dan adakah kenaikan kadar tarif air ini akan menjamin setiap rakyat di Negeri Sembilan sentiasa mendapat bekalan air yang bersih tanpa henti walaupun di musim perayaan? Adakah selepas ini, tiada lagi nenek-nenek seperti di kawasan Palong, Astana Raja, yang perlu memikul baldi untuk mengangkut air dari lori Jabatan Bekalan Air?

Adakah kenaikan tarif ini tidak akan memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah rakyat di Negeri Sembilan? Suami isteri yang bekerja dengan gaji mencecah lima angka, mungkin tidak terasa sangat kenaikan kadar bayaran air, elektrik, petrol dan sebagainya.

Tetapi bagaimana dengan pekerja kilang yang sudah berkeluarga yang gajinya tidak sampai seribu ringgit sebulan? Bagaimana dengan ibu tunggal yang semata-mata mengharapkan pencen sekiranya mereka ada pencen?

ADS