Paling Popular
Terkini

Membaca tulisan Datuk Saifuddin Abdullah (mantan timbalan menteri pengajian tinggi) di Sinar Harian bertajuk ‘Reformasi Pihak Berkuasa Tempatan’ pada 9 Mei 2016 membuatkan pihak kami terpanggil untuk memberi respon mengenai perkembangan yang sedang berlaku di Pulau Pinang yang mungkin ramai tidak tahu.

Sejak Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) mengambil alih kerajaan Pulau Pinang pada 2008, fokusnya adalah untuk menjadikan negeri ini sebagai "bandar raya antarabangsa" dan "kerajaan berorientasi rakyat" dengan membuat reformasi holistik dalam tadbir urus baik berpandukan keadilan sosial dan mengarusperdanakan gender.

Salah satu usaha yang sedang dilakukan adalah dengan melaksanakan Bajet Responsif dan Penyertaan Gender (GRPB) di kedua-dua kerajaan tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Projek ini diterajui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) iaitu sebuah agensi ditubuhkan kerajaan negeri pada 2012. Matlamat utama PWDC adalah untuk mengarusperdanakan gender dan keadilan sosial di Pulau Pinang.

GRPB yang dipanggil Model Penang ini adalah gabungan dua konsep bajet iaitu Bajet Responsif Gender (GRB) yang diamalkan di lebih 100 negara di dunia.

GRB memfokuskan kepada pengagihan sumber yang adil kepada semua masyarakat terutamanya wanita yang masih merupakan salah satu golongan terpinggir di dunia.

Participatory Budgeting (Bajet Penyertaan) pula telah diamalkan di lebih 3,000 tempat di seluruh dunia danmerupakan aspirasi rakyat yang membawa pendekatan "bawah ke atas".

GRB bukanlah perkara baru di Malaysia. Pada 2004, Malaysia menjalankan projek perintis GRB di lima kementerian. Namun, sehingga kini ia masih belum betul-betul terlaksana.

Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankannya di peringkat kerajaan tempatan.

Perkenal kontrak komuniti

Perkembangan terkini GRPB adalah dalam proses perlaksanaan tiga tahun Pelan Tindakan Strategik Penginstitusian GRPB di PBT masing-masing.

GRPB menjadikan rakyat sebagai rakan kongsi dalam membuat keputusan bagaimana dana pembangunan awam harus dibelanjakan.

Pendekatan penyertaan rakyat yang didokong di bawah projek ini merangkumi beberapa fasa yang melibatkan banci penduduk, kumpulan tumpu bincang (focus group discussion) dan undi penduduk dalam projek atau program yang menjadi keperluan dan kehendak rakyat.

Contohnya projek komuniti GRPB di PPR Jalan Sungai dan PPR Ampangan telah memperkenalkan Kontrak Komuniti Program Kebersihan yang merupakan satu konsep baru yang menjadikan penduduk tempatan di kedua PPR tersebut ‘kontraktor’ untuk menguruskan kebersihan di tempat mereka walaupun dulunya tugas itu diberikan oleh kontraktor luar.

Perbezaan ketara dapat dilihat di kedua PPR ini. Ternyata pendekatan ini telah mewujudkan rasa sayang kepada kediaman dan menghargai tempat tinggal mereka.

Begitu juga dalam memilih warna cat flat, seperti di PPR Jalan Sungai, komuniti di situ telah melalui proses undi penduduk bagi memilih warna yang mereka sukai apabila MBPP mengeluarkan peruntukkan mengecat semula bangunan berkenaan.

Walaupun baru dua tahun pelaksanaan GRPB sebagai projek perintis, Pulau Pinang telah memenangi Anugerah Khas Juri di International Observatory for Participatory Democracy (IOPD) yang diadakan di Brazil pada 2014.

PWDC mempunyai cita-cita besar supaya konsep GRPB ini diguna pakai di peringkat kerajaan tempatan dan seterusnya di kerajaan negeri.

Keperluan konsep ini memang menjadi hasrat kerajaan persekutuan kerana pada setiap tahun akan terkandung dalam pekeliling Kementerian Kewangan dalam perancangan bajet tahunan kepada setiap jabatan dan kerajaan negeri untuk menggunakan pendekatan GR(P)B.

Pulau Pinang mengambil langkah untuk pertama yang melaksanakannya.


MOHD HAFIZAN MAZUKI adalah Pegawai Projek Kanan Gender Responsive & Participatory Budgeting (GRPB), PWDC.

Lihat Komen
ADS