Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya menyambut baik kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah menyuarakan kesediaannya untuk berundur dan membuka ruang demokrasi dalam PAS. Bagi saya itu adalah satu contoh teladan kepada parti-parti politik yang lain.

Tuan Guru Abdul Hadi amat memahami isyarat daripada akar umbi yang mahukan barisan kepimpinan baru untuk memacu perjuangan parti ke arah yang lebih baik di masa hadapan dan menjelang pilihanraya umum ke-12.

Beliau yang telah memberikan lampu hijau untuk pencalonan bagi jawatan-jawatan tinggi dan menyatakan PAS tidak menghadapi masalah setiap kali diadakan pemilihan pucuk pimpinan parti.

Sebelum inipun, Tuan Guru Abdul Hadi pernah berniat untuk melepaskan jawatan presiden bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menumpukan kepada kerja penyusunan tarbiyah ahli-ahli khususnya ahli baru.

Ini kerana beliau mengakui bahawa sejak kemenangan besar PAS pada 1999 yang lalu, parti itu tidak memberi tumpuan kepada aspek pentarbiyahan ahli-ahli yang baru.

Bagaimanapun, Tuan Guru Abdul Hadi terus berada dalam Jawatankuasa PAS Pusat dan seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat.

Sehubungan itu, saya rasa Datuk Dr Haron Din merupakan calon yang perlu diketengahkan bagi menerajui kepimpinan parti.

Untuk jawatan naib presiden pula, saya akan mengusulkan supaya dicalonkan pimpinan pelapis seperti Haji Husam Musa, Ustaz Nasarudin Mat Isa dan Haji Mohamad Sabu, yang kesemuanya berumur bawah dari 50 tahun.

Mereka ini boleh memainkan peranan yang berkesan dan berwibawa dalam membantu presiden serta timbalannya.

Harapan saya semoga PAS akan lebih ter kehadapan selepas ini dalam usaha menjana arus kebangkitan rakyat demi survival PAS itu sendiri.

Akhir kata, saya sekali lagi menghargai sikap terbuka Tuan Guru Abdul Hadi dalam memberi peluang kepada pimpinan yang lain untuk menerajui kepimpinan PAS.

ADS