Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Seperti diketahui umum, PAS selalu mengatakan parti itu menuju ke arah mewujudkan kerjasama rapat antara golongan ulama dan profesional. Adakah ia berjaya terlaksana, atau adakah ia hanya retorik semata-mata?

Setelah PAS dilanda gelombang biru seumpama tsunami, maka terserlah masalah besar dalam perjuangan ulama dan profesional di dalam parti itu. Banyak cerita tersebar, antaranya, golongan profesional tidak puashati dengan tindak-tanduk ulama. Masalah ini menjadi lebih panas apabila ada golongan profesional PAS tidak bersetuju dengan pengisytiharan dokumen Negara Islam.

Golongan profesional dikatakan telah membuat kajian bahawa dokumen tersebut akan menjadi 'liabiliti' kepada PAS. Tetapi ulama PAS meneruskan juga pengisytiharan dokumen Negara Islam. Maka, golongan profesional terus terpinggir dan pendapat mereka diketepikan.

Beranikah PAS memberikan lebih ruang kepada golongan profesional? Dalam barisan kepimpinan PAS, mereka hanya menjadi orang nombor tiga parti sahaja, iaitulah Dato' Dr Hasan Ali.

Itupun, adakah beliau mampu mempertahankan kerusi ini, atau terus melangkah ke kerusi nombor 2, atau beliau akan gugur? Jika benar mereka sayangkan golongan profesional, kenapa tidak berikan peluang kepada golongan ini?

Melihat kepada keadaan semasa PAS, tampak parti itu tidak bersedia menamakan golongan profesional untuk menduduki kerusi nombor 2, apatah lagi untuk dicalonkan sebagai presiden parti.

PAS seperti tidak yakin dengan kemampuan golongan profesional. Inilah masalah yang perlu PAS tangani untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai perjuangan mereka. Jika tidak, PAS tidak lebih daripada beretorik semata-mata. Perjuangan mereka hanya untuk golongan terhad, bukan untuk semua.

Justeru, PAS perlu bersedia mengubah corak kepimpinan mereka untuk terus menjadi parti yang relevan kewujudannya di abad ini. Beri peluang kepada muka baru yang bertenaga, sama ada profesional atau ulama muda. Janganlah pemimpinnya asyik muka 'kitar semula' sahaja.

ADS