Tahun 1426 Hijrah membawa pelbagai harapan dan azam kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam, terutamanya bangsa Melayu. Ketika membelek-belek akhbar perdana berbahasa Melayu, maka terlintas di hati apakah masih ada lagi keputusan judi dalam akhbar tersebut yang biasanya diletakkan pada penjuru bawah mukasurat belakang ruangan sukan.
Tidak memeranjatkan keputusan judi empat nombor ekor masih terpampang di ruangan tersebut.
Tidak hairanlah selama ini jika kita pergi ke kedai-kedai kopi, ada orang Melayu yang berebut-rebut membaca akhbar pada hari-hari tertentu, bukannya untuk melihatkan keputusan bolasepak tetapi melihat keputusan judi empat nombor ekor.
Dan ada pula antara mereka yang sanggup menyebut nama 'Allah' apabila nombor yang mereka beli tidak kena atau apabila mereka memenangi pertaruhan.
Sepertimana yang kita ketahui, akhbar berbahasa Melayu majoritinya dibaca oleh pembaca Melayu yang beragama Islam. Apakah dengan kedatangan 1426 Hijrah, wajar lagi keputusan judi ini diletakkan dalam akhbar berkenaan, seolah-olah menggalakkan umat Islam melanggani judi empat nombor ekor, yang diharamkan agama dan pula bukannya satu budaya Melayu yang penuh dengan adat resam.
Apa yang pasti, ruangan keputusan judi dalam akhbar berbahasa Melayu tidak membawa kepada pembangunan ummah seperti apa yang dinyatakan dalam tema Maal Hijrah peringkat nasional pada kali ini iaitu 'Islam Hadhari Menjana Kemajuan Ummah'.
Sekiranya selepas ini tiada lagi akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan keputusan judi di Malaysia ini, maka mungkin kita akan dapati ada orang Melayu mula membelek-belek akhbar bahasa asing, hanya semata-mata untuk melihat keputusan judi, bahkan sanggup membeli akhbar bahasa asing walaupun mereka tidak faham bahasa tersebut.
