Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Muktamar Tahunan PAS yang akan diadakan pada 1 Jun ini di Pangkalan Chepa, Kelantan pasti akan menjadi tumpuan pelbagai pihak, terutamanya Umno kerana sebarang perubahan penting dalam kepimpinan PAS pastinya akan menggugat kedudukan Umno sebagai parti memerintah.

Pelantikan Dr Haron Din sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS baru-baru ini adalah isyarat penting kepada pemimpin-pemimpin lain bahawa beliaulah bakal menerajui parti itu selepas Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Manakala Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok pula adalah antara tokoh yang layak menjadi Timbalan Presiden. Beliau adalah pimpinan veteran yang matang berpolitik dan mempunyai pemikiran politik terkini dan terbuka kepada idea-idea yang baru.

Ini kerana rata-rata ahli-ahli PAS mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menggantikan Haji Hassan Shukri dengan calon yang lain. Lagi pula, kemenangan beliau dalam pemilihan lalu hanyalah kerana perwakilan termasuk saya, tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kedua-duanya dipegang oleh orang Terengganu, selepas Dr Haron menarik diri.

Haji Hassan yang juga merupakan bekas pengerusi lembaga pengarah Kohilal yang terlibat dalam isu kerugian pelaburan Kohilal bernilai RM65 juta yang sudah berlarutan sejak tiga tahun yang lalu, yang tidak mengambil sebarang pertanggungjawaban, sehingga menimbulkan kemarahan ahli-ahli yang melabur, termasuk saya sendiri.

Kebanyakan PAS kawasan-kawasan sememangnya mahukan tokoh seperti Dr Daeng yang lebih berwibawa berada di kedudukan tersebut, kerana jawatanTimbalan Presiden PAS amat penting kerana ia menentukan pemimpin masa depan parti itu.

Dr Daeng adalah calon popular dan kewibawaannya sukar ditandingi oleh pemimpin-pemimpin PAS, selepas Dr Haron yang sememangnya layak menjadi presiden parti.

Pemilihan PAS kali ini juga dijangka menyaksikan perubahan bagi jawatan naib presiden yang kini disandang oleh Dr Hassan Ali, Haji Azizan Abd Razak dan Mustafa Ali.

Tiga tokoh muda dalam PAS sekarang bakal diketengahkan bagi jawatan tersebut terdiri daripada Setiausaha Agung, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Haji Husam Musa serta bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah Haji Mohamad Sabu.

Haji Husam adalah pemimpin masa depan PAS Kelantan yang akan mendapat sokongan padu daripada kami ahli-ahli PAS. Haji Husam perlu dipilih menduduki jawatan itu, bukan sahaja kerana kewibawaannya, tetapi juga kerana beliau bijak dalam membuat bacaan politik yang amat menggerunkan musuh, iaitu Umno.

Di samping itu Haji Husam yang mahir dalam bidang ekonomi, telah menunjukkan kemampuannya dalam menguruskan ekonomi sehinggakan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) salah sebuah anak syarikat kerajaan Kelantan mencatat keuntungan pada tahun ini berbanding kerugian yang dialaminya sepanjang tiga tahun yang lalu.

Sebagai satu-satunya negeri yang diperintah oleh PAS, maka ahli-ahli PAS perlu memastikan salah satu daripada tiga jawatan naib presiden diberikan kepada Kelantan dan pemimpin yang paling sesuai ialah Haji Husam.

Sementara itu, Haji Mohammad Sabu juga adalah pemimpin masa depan PAS yang telah melepasi pelbagai ujian dalam kancah perjuangan Islam ini. Beliau telah ditahan sebanyak dua kali di bawah ISA. Namun begitu, beliau tetap istiqamah dalam perjuangan Islam.

Pemikiran politik Haji Mohammad juga global yang bukan cuma sekadar menangani politik Malaysia bahkan melangkaui batas sempadan negara. Beliau konsisten dalam menyuarakan kebangkitan Islam diseluruh pelusuk dunia, termasuk isu penjajahan regim Israel ke atas negara Palestin yang merupakan milik mutlak umat Islam.

Di samping menjadi 'penarik' dalam ceramah-ceramah PAS, Haji Mohammad boleh dikatakan berjaya menarik minat orang Umno dan atas pagar untuk mendengar ceramahnya yang akhirnya mendaftar sebagai ahli PAS.

Ustaz Nasharudin pula adalah arkitek muda PAS yang pastinya dapat menjadi aset penting bagi PAS dalam menangani arus perubahan masyarakat. Beliau yang mempunyai hubungan yang luas dengan pelbagai pihak terutamanya gerakan Islam, tentunya akan menguntungkan PAS.

Apa pun keadaannya, perubahan perlu berlaku dalam barisan kepimpinan PAS kali ini untuk bangkit semula dalam pilihanraya umum akan datang. Bagi ahli-ahli PAS, permuafakatan yang jitu antara golongan profesional dan ulama pastinya akan menggerunkan Umno yang ketandusan pimpinan yang hebat.

ADS