Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Pada tahun 2004, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memulakan penjenamaan semula (baca: tukar logo) stesennya. Diisytiharkan dalam Parlimen bahawa RM13.9 juta telah digunakan dari wang rakyat semata-mata untuk menukar logo dan mengadakan majlis pelancarannya.

Sepanjang 2-3 minggu lepas, Parlimen Malaysia begitu gempar apabila penjenamaan semula RTM itu turut melakukan perubahan terhadap 32 stesen radionya. Penjenamaan semula stesen radio Rima kepada Klasik FM secara tiba-tiba mencemaskan Parlimen Malaysia.

Berlumba-lumba ahli Parlimen bangun berhujah untuk menyelamatkan satu-satunya stesen radio yang menyiarkan lagu-lagu asli Melayu. Perdebatan mengenainya turut menarik perhatian media-media utama negara dan ketua-ketua editor akhbar tempatan telah menggunakan sepenuhnya ruangan mereka untuk mempertahankan identiti asal stesen radio tersebut.

Seriusnya perkara ini, seolah-olah negara sedang diancam malapetaka yang amat dasyat, sehingga mengheret beberapa ahli Parlimen yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mengadakan sidang media khas untuk mendesak Kementerian Penerangan supaya mengembalikan konsep asal Radio Rentak Irama Melayu Asli (Rima) yang menyiarkan seratus peratus lagu Melayu asli.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang menjadi jurucakap kumpulan tersebut berkata, penukaran Rima kepada Klasik FM dengan format 70 peratus lagu Melayu asli dan 30 peratus lagu lama pelbagai bahasa, hanya merosak dan mencemarkan Rima.

Menteri Penerangan pula dilihat sedaya-upaya mempertahankan tindakan untuk mencampurkan penyiaran lagu-lagu Melayu dengan lagu-lagu klasik Hindustan dan berbahasa Inggeris dengan hujah, tindakan ini akan menjadikan stesen itu bersifat lebih 'global' dan menarik lebih ramai pendengar dalam masyarakat majmuk Malaysia ini.

Bagaimanapun, jaminannya secara tidak langsung ialah bahawa tumpuan stesen radio itu masih kepada lagu-lagu Melayu asli akan dapat menarik lebih ramai lagi pendengar untuk mendengar lagu-lagu asli Melayu .

Jaminan Menteri Penerangan itu tidak berjaya menenangkan ahli Parlimen dan pengamal media yang secara tiba-tiba telah bertukar menjadi pejuang lagu-lagu Melayu asli, dan terus mengundang perbagai pihak untuk mengemukakan hujah masing-masing.

Hampir semula saluran media, dada akhbar, layar media elektronik dan corong radio digunakan untuk memperdebatkan mengenai kewajaran menukar konsep Rima atau mengekalkanya.

Isu yang diperlihatkan serius ini, akhirnya memaksa campurtangan perdana menteri sebaik sahaja beliau pulang dari luar negara. Keputusan beliau ialah nama stesen radio tersebut boleh ditukar tetapi lagu-lagu Melayu asli mendapat semula hampir keseluruhan waktu siarannya.

Cuma sebagai rakyat biasa, kita menjadi bingung dengan keghairahan hampir semua pemimpin negara dan pengamal media dalam memperdebatkan isu ini. Apakah kepentingan mempertahankan lagu Melayu asli melebihi kepentingan mempertahankan bahasa Melayu itu sendiri?

Apakah mempertahankan penyiaran lagu Melayu melalui radio memainkan lebih peranan ke arah perpaduan negara dan memartabatkan bangsa daripada mempertahankan bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam semua aspek penyampaian ilmu?

Tahniah kepada semua ahli Parlimen Malaysia dan ketua-ketua editor media tempatan yang bersungguh-sungguh dan berjaya dalam mempertahankan konsep radio Rima walaupun terpaksa ditukar nama. Cuma kami sedikit ragu-ragu adakah anda semua pernah mendengar radio Rima sebelum ini?

Sesungguhnya ketahuilah rakyat akan lebih berbangga dan gembira membayar elaun anda semua jika usaha yang sama dilakukan untuk menyelamatkan Bahasa Melayu (baca: bahasa ibunda) itu sendiri.

Penulis merupakan Pengerusi Biro Belia, Sukan dan Kebudayaan, Angkatan Muda Malaysia.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS