Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
'Najib memalukan dan menghina Agong'
Diterbitkan:  Sep 22, 2016 4:52 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Datuk Seri Najib Razak sudah tidak layak menjadi perdana menteri Malaysia apabila membuat kenyataan yang menunjukkan fakta yang salah.

Bagaimana fakta tempat boleh jadi tidak betul dalam kenyataan Najib. Fakta berkaitan dengan sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku tidak seharus salah, kerana ia dilaporkan oleh media.

Peristiwa tidak pernah berbohong di mana tempat berlakunya peristiwa.

Saya agak hairan kenapa Najib begitu ghairah untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan peristiwa pertemuan empat mata antara Yang di-Pertuan Agong dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang diterima mengadap pada 15 September lalu.

Kalau pun tujuan kenyataan Najib untuk memperlekehkan Mahathir tetapi tidak seharusnya menunjukan fakta yang salah.

Peristiwa pertemuan empat mata tersebut berlaku di Istana Anak Bukit. Yang peliknya Najib dalam kenyataannya menyebut pertemuan tersebut berlaku di Istana Bukit Malut.

Kan berbeza antara Bukit Malut dengan Anak Bukit. Bukit Malut di Langkawi.Anak Bukit dalam kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar. Bukit Malut dan Anak Bukit dipisahkan oleh laut.

Begitu juga dengan fakta Deklarasi Rakyat yang disebut oleh Najib dalam kenyataannya sebagai Deklarasi PBBM.

Satu dunia tahu Deklarasi tersebut diusahakan oleh Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) yang diketuai oleh Mahathir dan disertai oleh individu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Waktu itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pun belum tubuh lagi. Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal masih lagi ahli Umno pada waktu pelancaran Deklarasi Rakyat.

Kenyataan Najib satu penghinaan kepada Seri Paduka dengan menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mencampuri usaha yang lakukan oleh BERSATU dalam Deklarasi PBBM.

Kenyataan Najib seolah-olah Seri Paduka tak faham fakta sebenar antara Deklarasi Rakyat dengan Deklarasi PBBM.

Najib meletakkan Seri Paduka sama taraf dengan Ahli Parlimen Langkawi yang mentafsirkan MO1 adalah Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan dan perbualan saya dengan Seri Paduka semasa berangkat ke majlis perkahwinan anak saya pada 17 Sept 2016 di Kompleks Inspin Alor Setar menunjukkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai pengetahuan sejarah dan ketajaman fikiran lebih tinggi dari Najib.

Najib perlu mohon maaf pada Seri Paduka atas penghinaannya dan perlu sedari yang beliau sudah tidak layak menduduki kerusi perdana menteri.

Saya harap Najib tahu cara untuk mengundur diri sebagai perdana menteri seperti mana yang di lakukan oleh Tun Abdullah Badawi dan Mahathir.


DATUK MAHFUZ OMAR adalah Ahli Parlimen Pokok Sena

Nota Editor: Pejabat Perdana Menteri memperbetulkan kenyataan media awal Datuk Seri Najib Razak selepas kenyataan pertama dikeluarkan.Ini khususnya membabitkan lokasi pertemuan dan rujukan kepada parti baru itu.

Lihat Komen
ADS